ISTANBUL: Isu peruntukan dana seringkali dijadikan sebab penghalang kepada kemajuan usaha untuk menguruskan pembangunan bandar yang lestari.

Namun, Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Shariff menegaskan, halangan terbesar bagi perancangan urban yang lebih mampan ialah kerana kegagalan pentadbiran sesebuah kerajaan untuk mengagihkan peruntukan yang lebih telus.

“Daripada mesyuarat di peringkat global di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hinggalah ke peringkat kerajaan tempatan, ramai pemimpin kata dana adalah masalah untuk untuk melakukan perancangan yang lestari.”

“Sebenarnya bukan tiada duit, dana cukup tapi soal pokoknya bagaimana dana itu diagihkan pada golongan yang patut dapat bantuan sepatutnya.

“Jadi ini pentingnya, pentadbiran sesebuah kerajaan itu lebih telus. Ini juga berkaitan dengan kepimpinan yang ada iltizam politik, tadbir urus dan keupayaan untuk melakukan perubahan dalam isu perbandaran”, kata Maimunah ketika ditemu bual Astro AWANI pada sambutan World Cities Day, di sini.

Tarikh 31 Oktober dipilih PBB sebagai World Cities Day dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu perbandaran dan merangsang kerjasama semua pihak dalam menguruskan cabaran urbanisasi.

Tema Pendanaan Lestari bagi Masa Depan Perbandaran untuk semua dipilih untuk sambutan tahun yang diadakan di bandar Uskudar.

Sambutan tahun ini mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Turkiye dan Wanita Pertama Emine Erdogan dijangka menyampai ucap tama pada majlis perasmian.



Ikuti Temu bual penuh bersama Datuk Seri Maimunah ini boleh diikuti dalam Agenda Awani, 830 malam, 31 Oktober 2023.