DI Kota Mekah, di tengah doa yang tidak pernah putus dan langkah jutaan insan yang datang dengan satu niat ibadah, terselit sesuatu di sudut hati yang membangkitkan rasa rindu.
Bukan rindu kampung halaman semata-mata, tetapi rindu pada sesuatu yang paling dekat dengan jiwa, cita rasa kampung dan cita rasa Malaysia.
Advertisement
Di Tanah Suci, seorang bekas wira bola sepak negara, Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai O, kini memperluaskan empayarnya sebagai seorang usahawan. Tidak lagi tentang gol, sorakan dan padang hijau, tetapi tentang periuk, kuali dan doa yang mengiringi setiap hidangan.
Melalui Cafe Citarasa Malaysia, Hai O membawa cita rasa Malaysia ke Tanah Suci, bukan sekadar untuk menjamu selera, tetapi untuk membantu jemaah terus kuat, sihat dan fokus beribadah.
“Saya fikir, apa yang saya boleh bantu jemaah?”. Pertanyaan itulah yang menjadi titik mula segalanya.
“Jemaah haji ini kebanyakannya sudah berusia. Mereka berada di Mekah hampir 50 hingga 55 hari. Sudah tentu mereka akan rindu masakan Malaysia,” kata Hai O dengan nada yang tenang, tetapi penuh empati.
Bagi dia, makanan bukan soal kemewahan. Ia soal keperluan jiwa dan tubuh.
“Kalau mereka asyik fikir nak makan apa, susah nak makan... itu boleh ganggu fokus ibadah. Jadi saya fikir, bagaimana nak bantu mereka supaya boleh fokus kepada haji, tanpa risau soal makanan,” katanya.
Jawapannya datang dalam bentuk dapur kecil, menu ringkas tetapi penuh makna.
Hai O percaya, ibadah yang baik datang daripada tubuh yang terjaga.
“Bila kita makan benda yang kita mahu, insya-Allah ibadah kita pun jadi lebih sihat,” katanya.
Di Cafe Citarasa Malaysia, bukan sekadar nasi dan lauk. Ada sambal belacan, budu, kicap, sup panas bahkan mi segera telur, hidangan yang mungkin nampak biasa di Malaysia, tetapi menjadi luar biasa di Tanah Suci.
“Kita tahu apa orang Malaysia nak, sebab kita sendiri orang Malaysia. Bila lama di luar negara, malah mungkin hanya dua tiga hari sahaja, mesti rindu benda-benda ini,” ujarnya sambil tersenyum.
Dan reaksi jemaah menjadi jawapan paling jujur. Bukan melalui kata-kata panjang, tetapi melalui wajah yang tenang, senyuman kecil, dan ayat ringkas penuh syukur: “Terubat rindu.”
Bagi Hai O, rezeki bukan terikat pada satu tempat.
“Rezeki ini luas. Bukan hanya di Malaysia. Hari ini Allah bawa rezeki itu ke Mekah,” katanya.
Kafe Citarasa Malaysia kini memasuki tahun ketiga atau keempat operasinya. Buat masa terdekat, fokusnya jelas, musim haji dan penyediaan makanan kepada jemaah Tabung Haji.
Namun perancangannya tidak terhenti di situ. Dalam jangka masa setahun dua, Hai O melihat peluang untuk berkembang ke bidang katering, bekerjasama dengan agensi umrah Malaysia.
“Semua itu ada dalam rancangan. Tapi sekarang, fokus saya satu, musim haji, jemaah, makanan,” katanya ringkas.
Antara detik paling membahagiakan buatnya bukan tentang keuntungan, tetapi maklum balas jemaah.
“Ada yang puji, ada yang beri cadangan. Mereka cakap kekalkan rasa, jaga kualiti. Itu amanah,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau sendiri turun memasak, Hai O tersenyum.
“Maggi saya pandai. Maggi sup, Maggi telur itu saya boleh,” katanya bersahaja.
Dan di situlah indahnya cerita ini.
Seorang bekas pemain bola sepak negara, di kota suci Islam, memasak mi segera Maggi untuk jemaah haji bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi meringankan beban jiwa.
Di tengah kesibukan ibadah, langkah panjang tawaf, panas terik Masjidil Haram dan rindu yang tidak terucap, Cafe Citarasa Malaysia hadir sebagai pengingat halus:
Kadangkala, ibadah juga disokong oleh perkara-perkara kecil.
Sepinggan makanan yang biasa.
Semangkuk sup yang panas.
Dan niat yang ikhlas untuk membantu tetamu Allah.
Di Mekah, Hai O tidak membawa trofi.
Beliau membawa rasa Malaysia,
supaya jemaah boleh terus melangkah,
tenang, kenyang,
dan fokus menuju Tuhan.
*Essan Yahya dan Hilal Azmi kini berada di Mekah untuk membuat Laporan Haji 1447H bersama Tabung Haji.