Bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 pada 31 Ogos depan, sebuah buku mengenai sejarah bandar-bandar di negara ini dilancarkan hari ini.

Buku berjudul 'Towns of Malaya' (Bandar-bandar di Malaya) yang dikarang Dr Neil Khor Jin Keong, Mariana Isa dan Maganjeet Kaur, menggambarkan mengenai sejarah bandar di Semenanjung Tanah Melayu sehingga 1957 dan memberi tumpuan terutamanya pada abad ke-19 dan ke-20.

Khor berkata buku setebal 172 muka surat itu dibahagikan kepada empat bab utama merangkumi bandar diraja, bandar pelabuhan, bandar perlombongan serta bandar-bandar lain dengan memberi pandangan terhadap kira-kira 35 pusat bandar di Semenanjung dan pembangunan kawasan itu.

"Tujuan buku ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai bagaimana bandar-bandar kita berkembang dan ia signifikan bersempena Hari Kemerdekaan ke-60 negara kita.

"Kami berharap buku ini dapat memberikan pembaca rasa nostalgia dan banyak detik-detik menarik mengenai tempat asal usul mereka," katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran buku berkenaan di sini pada Sabtu.

Beliau juga berharap buku 'Towns of Malaya' itu boleh menjadi bahan rujukan dan inspirasi dalam membuat perancangan bandar yang lebih baik berdasarkan sejarah awal seni bina di negara ini.

"Ia sangat penting untuk menghargai dan menyedari bahawa terdapat perancangan bandar sebegitu rupa sebelum zaman penjajahan, warisan Asia Tenggara ini sudah ada sebelum infrastruktur moden disediakan.

"Walaupun banyak dipengaruhi corak pentadbiran penjajah pada masa itu, kita perlu ingat bahawa penduduk tempatan adalah mereka yang membina dan mewujudkan bandar-bandar ini," katanya.

Buku 'coffee-table' yang diterbitkan Think City and Editions Didier Millet itu berharga RM99 dan boleh didapati di semua kedai buku utama di seluruh negara.

-- BERNAMA