JUALAN terbuka pertama tiket Piala Dunia 2026 mengejutkan orang ramai apabila harga untuk aksi final mencecah sehingga AS$10,990 (sekitar RM50,000).
Angka ini dipercayai menjadi harga tiket kemasukan biasa paling mahal dalam sejarah bola sepak tidak termasuk pasaran ‘re-sale’. Ia jauh tersasar daripada janji awal dalam bidaan bersama Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico yang meletakkan harga maksimum sekitar AS$1,550 sahaja.
Advertisement
Namun realitinya, harga terus melonjak — daripada AS$8,680 ketika jualan kepada penyokong rasmi Disember lalu, hingga hampir AS$11,000 dalam fasa jualan terkini.
Sebagai perbandingan, tiket final Piala Dunia 2022 di Qatar hanya sekitar AS$1,604 untuk tempat duduk paling mahal.
Antara faktor utama kenaikan mendadak ini adalah penggunaan sistem ‘dynamic pricing’ oleh FIFA — di mana harga berubah mengikut permintaan semasa.
Walaupun terdapat sejumlah kecil tiket serendah AS$60 ditawarkan sebelum ini, harga keseluruhan tetap mengundang kritikan hebat, malah ada yang menyifatkannya sebagai “pengkhianatan besar” kepada penyokong.
Jelas, untuk edisi 2026, pengalaman menonton final Piala Dunia secara langsung kini semakin eksklusif dan mungkin hanya mampu dinikmati golongan tertentu sahaja. -- Stadium Astro