MALAYSIA

Buli: Bukan sekadar perlu dihukum, malah perlu dirawat

Shafiqa Azami 08/08/2025 | 13:43 MYT
Buli bukan sekadar salah laku yang perlu dihukum, tetapi satu penyakit sosial yang perlu dirawat dan dibanteras dari akar umbi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Buli bukan sekadar salah laku yang perlu dihukum, malah satu penyakit sosial yang perlu dirawat dan dibanteras dari akar umbi.

Menurut Exco Majlis Belia Malaysia merangkap Psychological First Aider (PFA), T.C. Sivanesan Tamil Selvam, isu buli kini merebak seperti wabak sehingga wajar diisytiharkan sebagai darurat, kerana ia terjadi bukan sahaja di sekolah dan di tempat kerja, bahkan lebih daripada itu, menular dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya nampak buli ini bukan sekadar satu jenayah, malah ia penyakit yang perlu dirawati dan dikeluarkan daripada ekosistem kita. Keadaan sekarang sudah seperti pandemik. Kalau boleh kita isytiharkan darurat terhadap buli ini,” katanya.

Sivanesan menjelaskan, terdapat tiga faktor utama yang mendorong kepada tingkah laku buli yang semakin agresif. Pertama, stigma sosial dalam kalangan generasi muda yang menganggap dominasi sebagai lambang keagungan berbanding sifat kelembutan, sehingga mendorong kepada perbuatan mencederakan orang lain.

Dialog Anak Muda: Rawat pembuli, selamatkan mangsa buli


Faktor kedua adalah status sosial yang menjadi penyumbang utama, manakala faktor ketiga melibatkan aspek psikologi, di mana ramai pembuli mempunyai masalah mental atau trauma yang bermula dari rumah, namun isu ini sering disembunyikan.

“Kita terlalu cepat menyalahkan pelaku sebelum mengenal pasti punca utama. Ramai tidak memberi fokus kepada intervensi psikologi, sedangkan inilah kunci untuk memutuskan kitaran buli,” katanya.

Beliau dalam Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI.

Beliau menyeru semua pihak termasuk sekolah, majikan, ibu bapa dan pembuat dasar untuk melihat isu buli dari perspektif kesihatan mental, bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkesan.






#Belia #buli #kesihatan mental #T C Sivanesan Tamil Selvam #rawatan #Hukuman