Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Buli perlu ditangani secara strategik, bukan bermusim - MINDA UKM

Afiezy Azaman 15/08/2025 | 04:25 MYT
Menurut Anuar (gambar), strategi segera yang perlu dilaksanakan termasuk pemasangan CCTV di sekolah berisiko tinggi dan melantik warden asrama sepenuh masa di sekolah berasrama penuh yang berdepan masalah disiplin tinggi. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Usaha mencegah buli di sekolah perlu dilakukan secara serius, strategik dan berterusan, bukan sekadar tindakan bermusim atau reaktif seperti kempen dan pameran anti-buli.

Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata pengalaman lalu menunjukkan amalan reaktif tidak berkesan kerana isu buli akan berulang selepas beberapa ketika.

“Siapa boleh beri jaminan bahawa laungan ‘Kami benci buli’ akan terus kedengaran pada sesi sekolah tahun hadapan atau lima tahun dari sekarang?

"Tahun 2022, kita ada lagu ‘Sekolahku Sejahtera’, di mana sekarang? Anak-anak anda masih nyanyikan?” soal beliau.

Menurut Anuar, strategi segera yang perlu dilaksanakan termasuk pemasangan CCTV di sekolah berisiko tinggi, melantik warden asrama sepenuh masa di sekolah berasrama yang berdepan masalah disiplin tinggi, serta menambah baik peraturan sekolah sedia ada.

Bagi strategi jangka panjang, beliau mencadangkan pembinaan dan pelaksanaan Indeks Kesejahteraan Sekolah Malaysia (IKSM).

"Ini merangkumi audit keselamatan murid dari aspek fizikal, emosi, mental dan siber; pemakanan dan kesihatan; kecukupan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran; kebersihan; kebolehgunaan kemudahan sekolah; serta kebajikan warga sekolah," tambahnya.

Melalui IKSM, katanya, pengurusan sekolah boleh dibantu secara berterusan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), termasuk menyalurkan peruntukan tambahan secara bersasar berdasarkan data terkini yang menyeluruh.

“Membangunkan IKSM memerlukan kepakaran, dan pasukan penyelidik kami di MINDA UKM bersedia memberikan sumbangan.

"Hubungi sahaja pihak kami, mari kita sama-sama berbincang demi pendidikan anak-anak kita,” katanya.








#buli #Anuar Ahmad #CCTV #warden