Ahli Parlimen Kinabatangan dan Bekas Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 60, hari ini mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra), berjumlah RM2.8 juta pada Jun 2015.

Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO Sabah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob sebentar tadi.

Manakala isteri Bung Moktar Datin Seri Zizie Izette A. Samad, 41, pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Mokhtar yang didakwa memperoleh suapan yang berupa wang tunai berjumlah RM2.2 juta daripada Madhi Abdul Hamid seorang Agen Pelaburan Public Mutual.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi produk Unit Amanah Public Mutual Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara jam 12.30 tengahari dan 5 petang di sebuah bank di Taman Melawati pada 12 Jun 2015.

Manakala bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi yang sama memperoleh suapan dari individu yang sama berjumlah RM262,500 ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Treasure Growth Fund didaftarkan dibawah nama isterinya Zizie Izette kira-kira jam 12.16 tengahari pada 19 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga, Bung Mokhtar didakwa memperoleh suapan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad berjumlah RM337,500 ringgit daripada Norhaili Ahmad Mokhtar Ejen Pelaburan Public Mutual menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund di bawah nama Isterinya Zizie Izette atas tujuan yang sama di lokasi yang sama kira kira jam 12.28 tengahari 19 Jun 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Allan Summah Pillai manakala beliau diwakili peguam Datuk K Kumarindran.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bung Moktar diwakili peguam Datuk R Kumaraendran manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar bertindak bagi pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan.

Rabu lalu, SPRM menahan Bung Moktar pada jam 10.50 pagi di pejabat SPRM Sabah.

Manakala Zizie, yang juga seorang pelakon, ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 11.15 pagi, hari yang sama.

Kedua-dua mereka ditahan selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Felcra.

Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada Julai 2013 dan meletak jawatan pada 1 Jun 2018.

Peletakan jawatan adalah susulan kekalahan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu.