KOTA KINABALU: Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Kerajaan Pusat supaya memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membeli bekalan vaksin daripada Pharmaniaga.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, perkara itu bagi memastikan vaksin boleh dibeli sektor swasta seterusnya mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

"Kami rakyat di Sabah ini memerlukan vaksin yang melalui sektor swasta supaya syarikat GLC kita, sektor swasta kita boleh membeli vaksin daripada mereka (sektor swasta).

"Kenapa kami di Sabah ini dinafikan hak kami, kami ada hak untuk menuntut vaksin kami bayar bukan pun minta percuma.

"Jadi saya harap, mana-mana kementerian, Kementerian Kesihatan, Kementerian yang jaga vaksin, Khairy Jamaluddin dengar suara suara orang Sabah, jangan syok sendiri sahaja, "katanya.

Sementara itu, Bung Moktar menambah, kehadiran varian-varian baharu yang lebih ganas juga perlu ditangani secara proaktif.

"Bayangkan kalau varian baru ini menyerang di negeri Sabah, dengan hospital kita kurang, frontliners kita sudah kepenatan. Apa yang dapat kita lakukan?..."katanya.

"Sabah mempunyai 3.89 juta penduduk, namun hanya lebih 130,000 orang sahaja yang baru menerima suntikan vaksin. Ini bermakna masih ramai rakyat terdedah dengan serangan COVID-19.

“Justeru, saya selaku pemimpin Sabah meminta kepada Kerajaan Persekutuan membekalkan negeri Sabah dengan vaksin melalui Pharmaniaga,” katanya.