KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung, 63, kelihatan tenang manakala Zizie Izette, 44, menangis selepas mendengar keputusan itu.

Hakim memutuskan bahawa adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa penyemakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.

"Setelah meneliti rekod prosiding, mahkamah ini mendapati tiada bukti saksi pendakwaan ke-24 iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid dan saksi pendakwaan ke-25, perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar telah memberikan wang kepada Bung Mokhtar melalui isterinya.

"Jadi keputusan Mahkamah Sesyen untuk memanggil pembelaan adalah satu kesalahan dalam melaksanakan keadilan. Saya dengan ini menggunakan Seksyen 325 KTJ untuk membebaskan dan melepaskan kedua-dua mereka," kata hakim itu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How manakala peguam Datuk K. Kumaraendran dan M. Athimulan masing-masing mewakili Bung Mokhtar dan Zizie Izette.

Mahkamah Sesyen, pada 2 Sept tahun lepas, memerintahkan Bung Mokhtar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah itu. Ini mendorong mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka tanpa mendengar merit permohonan selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan itu.

Pasangan itu kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan pada 7 Julai 2023, mereka berjaya dalam rayuan dan mahkamah menghantar semula permohonan semakan kepada Mahkamah Tinggi untuk merit permohonan didengar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit Public Mutual amanah.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili atas nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan 23 Sept 2022 untuk Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri.

Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding pembelaan sementara menunggu selesai permohonan semakan mereka.

Perbicaraan telah ditetapkan pada 20 Julai 2023, tetapi ditangguhkan sekali lagi sementara menunggu selesai permohonan semakan.

Mahkamah Sesyen telah menetapkan 13 Sept untuk sebutan kes bagi kedua-dua pihak mengemas kini kepada mahkamah mengenai permohonan semakan yang telah didengar di Mahkamah Tinggi hari ini.

-- BERNAMA