PUTRAJAYA: Tiga rakan terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati mandatori itu dengan penjara atas kesalahan menyebabkan kematian terhadap seorang penduduk di sebuah pangsapuri, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan rayuan B. Davendran, 30, K. Neelamegan, 29, dan P. Hurisudhan, 32, untuk mengetepikan sabitan di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan dan menggantikannya dengan sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 304(a) kanun sama.

"Setelah mengambil kira hujahan yang dikemukakan pihak peguam dan pendakwaan, kami menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap perayu pertama (Davendran) manakala hukuman penjara 10 tahun masing-masing terhadap perayu kedua (Neelamegan) dan perayu ketiga (Hurisudhan).

"Hukuman itu diperintahkan bermula dari tarikh ketiga-tiga perayu ditangkap," katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Davendran ditangkap pada 18 Jun 2018 manakala Neelamegan dan Hurisudhan masing-masing pada 14 Jun 2018.

Terdahulu, Hakim Azmi yang turut membacakan keputusan itu berkata mahkamah mendapati hakim bicara (Hakim Mahkamah Tinggi) gagal mengupas dengan mendalam mengenai peruntukan di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan (mematikan orang dengan salah).

"Jika fakta dalam keterangan yang dikemukakan dalam kes ini diperhalusi serta diberi pertimbangan secukupnya, kami yakin hakim bicara akan mencapai suatu keputusan berbeza iaitu dengan menurunkan seksyen kesalahan daripada Seksyen 300 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 299 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) kanun sama," kata Hakim Azmi.

Hakim Azmi berkata kegagalan hakim bicara meminda kesalahan itu menimbulkan prejudis kepada ketiga-ketiga perayu yang seharusnya diperbetulkan oleh mahkamah rayuan ini bagi memastikan tidak berlakunya ketidakadilan kepada mereka (perayu).

"Sehubungan itu, mahkamah ini membenarkan rayuan ketiga-tiga perayu untuk mengetepikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan digantikan sabitan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan," kata hakim itu.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fuad Aziz dan peguam Gurubachan S. Johal mewakili Davendran, manakala Neelamegan serta Hurisudhan masing-masing diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Amer Hamzah Arshad.

Pada 15 Okt 2021, tiga lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berumur 58 tahun di bawah blok Perumahan Awam Rakyat Wangsa Maju, pada 18 April 2018, 8 malam.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 petang, 18 April 2018, mangsa dan isterinya telah pergi mengambil anak lelaki mereka daripada tuisyen di Sri Rampai sebelum Neelamegan bertindak menarik tangan mangsa dan mengarah mangsa mengekorinya.

Isteri mangsa kemudian memberitahu kejadian itu kepada ibu mentuanya sebelum menemukan mangsa dipukul ketiga-tiga perayu di bahagian belakang blok pangsapuri berkenaan.

Pergaduhan itu berlaku dipercayai berpunca daripada mangsa memasuki sebuah rumah penduduk di pangsapuri berkenaan.

-- BERNAMA