Bunuh pasangan kekasih: Dua beradik dihukum penjara 32 tahun dan sebat

Kedua-dua lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara 32 tahun serta 12 sebatan setiap seorang dan memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap, iaitu pada 29 Sept 2019. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menukar penghakiman sebelum ini yang membebaskan dua beradik warga India atas pertuduhan membunuh sepasang kekasih dan mayat mereka ditemukan disumbat dalam beg pakaian serta dibuang ke dalam longkang di dua lokasi berbeza enam tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, mensabitkan Sagar Sharma, 30, dan adiknya Shubham Sharma, 25, atas kesalahan membunuh Lim Ah Kee, 79, dan Tan Siew Mee, 52.
Kedua-dua lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara 32 tahun serta 12 sebatan setiap seorang dan memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap, iaitu pada 29 Sept 2019.
Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, yang membebaskan kedua-dua tertuduh.Hakim Abu Bakar berkata terdapat bukti keadaan yang kukuh dan menyeluruh yang membuktikan penglibatan dua beradik itu dalam pembunuhan berkenaan.
Kedua-dua mereka yang merupakan bekas pengawal keselamatan, pada asalnya disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2022 atas pertuduhan membunuh pasangan tersebut di sebuah rumah di Jalan USJ21/10, Selangor antara 8 malam, 23 Ogos 2019 dan 3.20 pagi, 24 Ogos 2019.
Namun pada November tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan membebaskan kedua-dua mereka. Keputusan itu mendorong pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Berdasarkan fakta kes, mayat Tan ditemukan dalam sebuah beg pakaian oleh seorang pekerja syarikat telekomunikasi di dalam longkang berhampiran persimpangan Persiaran Klang dan Persiaran Kuala Selangor. Mayat Lim yang turut diletakkan dalam beg pakaian, kemudiannya ditemukan di dalam longkang lain di sepanjang Jalan Putra Bestari 2/5, Putra Heights.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang yang mewakili pihak pendakwaan berhujah bahawa terdapat bukti keadaan yang kukuh dan menyeluruh, yang membawa kepada kesimpulan jelas bahawa dua responden itu merupakan pelaku pembunuhan tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua responden dilihat mengendalikan beg pakaian yang kemudiannya didapati mengandungi mayat mangsa, dan mereka juga merupakan satu-satunya individu yang tinggal serumah dengan pasangan berkenaan.
Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili dua beradik itu mempertahankan pembebasan terdahulu dengan berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang mencukupi untuk mensabitkan anak guamnya atas pertuduhan membunuh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami