Bunuh, simen abang: 'Dia kuat agama, tak sangka jadi pembunuh' - Adik suspek

Adie Sufian Zulkefli
Mac 8, 2020 06:21 MYT
Suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya. Gambar kecil ialah mangsa. -Foto PDRM
"Saya terkejut dan tak sangka abang (suspek) jadi pembunuh kerana dia seorang yang baik dan kuat agama.”
Itu yang diceritakan adik tiri mangsa, Mohd Nazir Azami, 24, berhubung kejadian bunuh dan simen di Kepala Batas, dekat sini, pada Ahad.
"Abang (suspek) lakukan itu mungkin dia nak pertahankan dirinya menyebabkan dia tak sengaja menetak abang tiri (mangsa)”.
Menurut Mohd Nazir, dia yang dimaklumkan ibunya tentang kejadian itu pada jam 7 pagi tadi bergegas pulang ke Kampung Padang Hassan, Bukit Pinang.
Menurutnya lagi, ketika kejadian hanya mereka berdua tinggal di rumah itu kerana ibu yang hanya dikenali sebagai Jah Chik, berusia 50-an, dan seorang lagi adik mereka telah pergi ke Melaka kerana ada urusan.
Kata Mohd Nazir, mangsa sebelum ini pernah menjalani pemulihan akibat dadah manakala suspek pula bekerja sebagai peniaga ayam.
Katanya lagi, mangsa ialah abang seibu dengan mereka tetapi berlainan ayah, manakala suspek pula ialah abang kandungnya.
Menurut Mohd Nazir, suspek dan mangsa selalu bertengkar di mana kebiasaannya mangsa yang akan memulakan dahulu.
"Si mangsa bawa keluar parang, lepas tu suspek cuba mempertahankan diri dengan penyapu tepi dinding rumah.
"Mangsa pun tetak suspek dengan parang... masa pergelutan itulah terkena tengkuk (mangsa)," kata Mohd Nazir.
BACA: Adik bunuh abang, simen mayat dalam tong air
BACA: Bunuh, simen abang kerana pakai baju pemberian teman wanita
Menurut Mohd Nazir, berkemungkinan suspek cuba menepis parang yang dilibas itu dan terkena pada bahagian belakang leher mangsa.
Suspek dipercayai panik melihat mangsa rebah dan tidak bernyawa.
Tambah Mohd Nazir, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
#bunuh abang #Kampung Padang Hassan #Kepala Batas #kuat agama #Mohd Nazir Azami #pertahankan diri #simen abang