KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang bercampur-campur berikutan pelabur kekal berwaspada dengan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat dan ketegangan di Timur Tengah, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.24 mata kepada 1,533.76 daripada 1,535.0 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 0.05 mata kepada 1,535.05.

Bagaimanapun, keadaan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 512 berbanding 342, manakala 462 kaunter tidak berubah, 1,036 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.85 bilion unit bernilai RM1.18 bilion.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun berkurangan 0.29 peratus kepada 38,359.44, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.07 peratus kepada 16,238.09 dan Kospi Korea Selatan turun 0.28 peratus kepada 2,602.21.

Sementara itu, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.49 peratus kepada 3,160.21 dan Indeks Komposit SSE China meningkat 1.24 peratus kepada 3,044.26.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata memandangkan sentimen dagangan yang bercampur-campur di Wall Street, tekanan jualan di dalam negara mungkin berlebihan, dan pasaran sewajarnya mencatat peningkatan.

"Kami berpandangan mungkin terdapat peningkatan dalam sektor pembinaan, hartanah dan teknologi.

"Sementara itu, peniaga boleh mengukuhkan kedudukan mereka dalam syarikat pengangkutan dan logistik, manakala pelabur jangka panjang mungkin meninjau sektor yang lebih defensif seperti segmen pengguna," katanya dalam nota hari ini.

Firma pembrokeran itu menjangka paras rintangan pada 1,550-1,555 manakala sokongan pada 1,515-1,520.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.53, CIMB turun satu sen kepada RM6.47 dan Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM11.46.

Sementara itu, Public Bank naik satu sen kepada RM4.11 dan Petronas Chemicals menokok tiga sen kepada RM6.83.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang dan MY E.G Services masing-masing naik setengah sen kepada 15 sen dan 77.5 sen, dan Velesto Energy menokok satu sen kepada 28 sen, manakala Alpha IVF dan Bina Puri Holdings masing-masing tidak berubah pada 33.5 sen dan lapan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.38 mata kepada 11,529.39, Indeks FBMT 100 menokok 9.63 mata kepada 11,178.61 dan Indeks FBM ACE menambah 35.23 mata kepada 4,917.17.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 21.88 mata kepada 11,718.31 dan Indeks FBM 70 naik 90.39 mata kepada 16,087.19.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.74 mata kepada 182.82 dan Indeks Tenaga menambah 5.10 mata kepada 955.04.

Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 0.86 mata kepada 17,008.09 dan Indeks Perladangan turun 78.72 mata kepada 7,320.52.

-- BERNAMA