KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, mengambil petunjuk daripada penjualan mendadak semalaman di Wall Street selepas Amerika Syarikat (AS) mencatatkan bacaan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, menurut seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.08 mata kepada 1,476.76 berbanding 1,487.84 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka rendah 12.60 mata kepada 1,475.24.

Bagi pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 496 berbanding 31, manakala 107 kaunter tidak berubah, 1,717 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 209.85 juta unit bernilai RM106.46 juta.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dilaporkan meningkat kepada 6.3 peratus pada Ogos 2022 daripada 5.9 peratus pada Julai.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata, penjualan di Wall Street adalah disebabkan oleh inflasi tinggi, yang akan mendorong Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kecenderungan menaikkan kadar faedah, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat.

"Kami percaya sentimen pasaran tempatan mungkin kembali negatif akibat prestasi Wall Street. Justeru, kami menjangkakan penurunan menyeluruh di Bursa Malaysia, yang menyaksikan kaunter teknologi menerima impak terbesar seiring dengan penjualan Nasdaq.

"Bagaimanapun, kami yakin mungkin ada manfaat yang akan diterima oleh saham defensif seperti sektor perbankan dan pengguna," katanya.

Firma pembrokeran itu turut meramalkan aktiviti belian semasa harga rendah dalam sektor tenaga berikutan harga minyak mentah Brent diniagakan sekitar US$93 setong pada masa ini.

Dalam pada itu, harga minyak sawit mentah diniagakan melebihi RM3,850 satu tan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing merosot satu sen kepada RM8.91 dan RM4.51, Petronas Chemicals berkurangan sembilan sen kepada RM8.62, CIMB susut tiga sen kepada RM5.42 dan IHH Healthcare jatuh empat sen kepada RM6.16.

Bagi saham aktif, Velesto Energy susut 1.5 sen kepada 10 sen, Reach Energy dan Metronic Global masing-masing berkurangan setengah sen kepada 3.5 sen dan dua sen, manakala SNS Network Technology dan Aimflex masing-masing susut satu sen kepada 28 sen dan 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 104.93 mata kepada 10,493.33, Indeks FBMT 100 susut 97.83 mata kepada 10,242.39, Indeks FBM Emas Syariah rendah 142.91 mata kepada 10,577.57, FBM 70 merosot 205.00 mata kepada 12,609.43 dan FBM ACE turun 125.62 mata kepada 4,775.10.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga berkurangan 19.22 mata kepada 708.45, Indeks Perladangan susut 46.99 mata kepada 6,951.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.48 mata kepada 180.97 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 63.50 mata kepada 16,603.49.

-- BERNAMA