KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia rendah pada sesi awal Selasa, menjejaki perkembangan negatif semalaman di Wall Street susulan ketegangan konflik Timur Tengah selain inflasi ketara di Amerika Syarikat (AS) sebagaimana dibuktikan menerusi data jualan runcit bagi Mac yang kukuh dan mengatasi jangkaan.

Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.70 mata kepada 1,539.83 daripada paras 1,542.53 di akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.45 mata kepada 1,541.08.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 521 berbanding 92 manakala 266 kaunter lain tidak berubah; 1,473 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 463.03 juta unit bernilai RM191.62 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata perkembangan terbaharu itu menyaksikan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS ditutup mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir enam bulan pada 4.61 peratus.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) pula berakhir dengan susut 248 mata manakala Nasdaq turun 290 mata.

"Di peringkat tempatan, FBM KLCI turun ke paras 1,540 semalam dalam senario prestasi serantau yang terjejas akibat ketegangan yang terus memuncak di Timur Tengah.

"Aktiviti jualan di bursa tempatan meluas berikutan tiada sektor yang terkecuali. Jika sokongan semasa pada paras 1,540 turut terjejas, paras sokongan seterusnya diunjur sekitar 1,520," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Thong menjangkakan indeks itu akan bergerak dalam julat 1,540-1,550 pada hari ini.

Saham wajaran tinggi seperti Maybank turun satu sen kepada RM9.64, Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM11.56 dan Petronas Chemicals merosot lima sen kepada RM6.75.

Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM4.12 dan RM6.58.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang naik 1.5 sen kepada 15.5 sen, TWL sebaliknya turun setengah sen kepada tiga sen dan Dagang NeXchange berkurangan satu sen kepada 40 sen manakala Harvest Miracle Capital dan Hong Seng Consolidated masing-masing kekal pada 11.5 sen dan satu sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 42.46 mata kepada 11,557.74, Indeks FBMT 100 turun 35.43 mata kepada 11,203.63, Indeks FBM Emas Syariah susut 49.16 mata kepada 11,707.42, Indeks FBM ACE merosot 37.37 mata kepada 4,959.10 dan Indeks FBM 70 menguncup 115.43 mata kepada 16,044.42.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 26.131 mata kepada 17,143.02, Indeks Perladangan susut 26.38 mata kepada 7,406.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kehilangan 0.97 mata kepada 182.85 dan Indeks Tenaga menguncup 3.44 mata kepada 963.05.

-- BERNAMA