Bursa Malaysia meneruskan aliran positif pada hari kedua berturut-turut hari ini apabila hampir semua indeksnya meningkat, dipacu oleh aktiviti belian terutamanya saham bermodal kecil.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 5.42 mata kepada 1,375.58 daripada 1,370.16, sebelum ini.

Pasaran secara amnya turut optimis dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 243 berbanding 85 manakala 198 kaunter lain tidak berubah, 1,387 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 382.14 juta saham bernilai RM114.30 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham berharga rendah serta di pasaran meluas, didagangkan lebih tinggi berikutan sentimen positif yang menggalakkan pembelian.

"Kami melihat aliran sedemikian berterusan ketika pelabur meneruskan usaha mencari saham berharga rendah," katanya.

Bagaimana pun, indeks petunjuk utama FBM KLCI dijangka terus berada dalam keadaan mendatar apabila pulangannya dikekang oleh aliran keluar dana asing yang ketara.

"Kekurangan petunjuk baharu menunjukkan momentum mendatar atau tidak berubah di FBM KLCI mungkin berterusan lebih lama. Pada masa sama, kelemahan harga minyak mentah juga menjejaskan pulangan di bursa itu," katanya.

Berikutan itu, kata nota firma pembrokeran berkenaan, indeks penanda aras tersebut dijangka berlegar dalam lingkungan 1,360 hingga 1,410 pada jangka terdekat ini.

Pada 9 pagi, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut ke bawah AS$20 setong apabila mencecah AS$19.73 manakala minyak mentah WTI menjunam ke paras AS$11.95 setong.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM12.10, Public Bank untung 14 sen kepada RM15.90, Petronas Dagangan melonjak 64 sen kepada RM20.38, Sime Darby Plantation meraih lima sen kepada RM4.85.

Bagi saham aktif, MQ Technologies dan Bioalpha masing-masing naik setengah sen kepada tiga sen dan 14 sen manakala saham paling rugi, MISC susut 30 sen kepada RM7.67.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 35.11 mata pada 9,594.88, Indeks FBMT 100 menokok 34.46 mata kepada 9,469.58, Indeks FBM Emas Shariah naik 47.42 mata kepada 10,643.85, FBM ACE meraih 46.25 mata kepada 4,634.38 manakala FBM 70 menambah 29.98 mata kepada 11,466.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 23.97 mata kepada 12,292.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri tidak berubah pada 115.34 dan Indeks Perladangan meningkat 22.39 mata kepada 6.192.96. - BERNAMA