KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri aliran peningkatan selama tiga hari berturut-turut berikutan prestasi lemah pasaran seluruh rantau ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 8.68 mata kepada 1,544.96 daripada 1,553.64 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu yang dibuka rendah 2.05 mata kepada 1,551.59, ditutup tinggi pada 1,552.10 ketika sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 510 berbanding 502, manakala 486 kaunter tidak berubah, 796 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.06 bilion unit bernilai RM3.09 bilion daripada 4.24 bilion unit bernilai RM2.79 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup lebih rendah disebabkan kebimbangan mengenai petunjuk daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa kadar faedah mungkin akan dinaikkan.

Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.24 peratus kepada 16,529.48, Kospi Korea Selatan turun 1.10 peratus kepada 2,656.17, dan Indeks Komposit SSE China menguncup 0.72 peratus kepada 3,062.76.

"Selain itu, pelabur menjangkakan keputusan dasar daripada pegawai bank pusat di AS, Taiwan, Indonesia, Turkiye, Rusia, Brazil, dan Mexico pada akhir minggu ini," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Thong percaya sentimen pelabur akan kekal stabil berikutan sokongan padu daripada institusi tempatan walaupun berlaku penjualan hari ini.

"Kami lebih suka kekal berhemat memandangkan turun naik pasaran yang semakin meningkat dan menjangkakan indeks penanda aras kekal dalam mod penyatuan sehingga ada petunjuk lebih jelas kemudian.

"Oleh itu, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara paras 1,540-1,570," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM9.65 dan RM11.50, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.28, CIMB jatuh empat sen kepada RM6.61, dan Petronas Chemicals jatuh lima sen kepada RM6.81.

Bagi saham aktif, Ta Win and Talam Transform masing-masing turun 0.5 sen kepada tiga sen dan 1.5 sen, Harvest Miracle Capital merosot satu sen kepada 11.5 sen, Fitters Diversified melonjak satu sen kepada enam sen dan Hong Seng tidak berubah pada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 38.82 mata kepada 11,518.55, Indeks FBMT 100 turun 40.58 mata kepada 11,178.27, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 26.75 mata kepada 11,537.26.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE menokok 33.97 mata kepada 4,751.09 dan Indeks FBM 70 meningkat 34.92 mata kepada 15,750.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.67 mata kepada 17,281.38, Indeks Perladangan berkurangan 6.68 mata kepada 7,278.76, indeks Tenaga susut 3.00 mata kepada 925.41,bagaimanapim Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.11 mata kepada 177.35.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.50 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 2.83 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 805.77 juta unit bernilai RM104.88 juta daripada 836.40 juta unit bernilai RM112.35 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 744.37 juta saham bernilai RM205.36 juta daripada 546.78 juta saham bernilai RM184.68 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 268.88 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (501.75 juta); pembinaan (315.86 juta); teknologi (449.70 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (129.84 juta); hartanah (425.71 juta); perladangan (40.15 juta); REIT (7.56 juta), dana tertutup (14,900); tenaga (114.95 juta); penjagaan kesihatan (42.71 juta); telekomunikasi dan media (37.11 juta); pengangkutan dan logistik (46.99 juta); dan utiliti (122.77 juta).

-- BERNAMA