KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini, disokong minat belian dalam saham permodalan besar apabila pelabur beralih kepada kaunter defensif susulan peningkatan ketidaktentuan geopolitik.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.09 mata atau 0.42 peratus kepada 1,702.30 berbanding paras 1,695.21 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Advertisement
Indeks penanda aras itu dibuka 1.71 mata lebih rendah pada 1,693.50 dan bergerak dalam julat 1,689.00 hingga 1,703.64 sepanjang dagangan.
Di pasaran menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 657 berbanding 500, manakala 572 kaunter tidak berubah, 1,029 tidak diniagakan dan 24 digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.03 bilion unit bernilai RM2.92 bilion daripada 3.46 bilion unit bernilai RM3.08 bilion pada Jumaat lepas.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran menjadi lebih berhati-hati susulan laporan mengenai rampasan sebuah kapal kargo Iran oleh Amerika Syarikat.
“Perkembangan ini menimbulkan semula keraguan terhadap proses damai yang goyah di Asia Barat serta meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan penutupan semula Selat Hormuz.
“Meskipun ketegangan meningkat, sentimen serantau kekal agak stabil dengan pasaran ekuiti Asia mencatat kenaikan apabila pelabur melihat melangkaui ketegangan jangka pendek kepada prospek rundingan diplomatik yang diperbaharui, di samping kekuatan berterusan sektor teknologi,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking meningkat 24 sen kepada RM11.34, CIMB Group naik 12 sen kepada RM7.59, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.40, IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM8.78, manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.69.
Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI naik dua sen kepada 85.5 sen, Inari Amertron melonjak 12 sen kepada RM1.77, NexG meningkat dua sen kepada 26.5 sen, manakala AirAsia X dan Empire Premium Food masing-masing susut tiga sen kepada RM1.30 dan RM1.01.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Fraser & Neave meningkat 46 sen kepada RM31.46, Bintulu Port melonjak 24 sen kepada RM5.59, Petronas Gas dan Malaysian Pacific Industries masing-masing naik 20 sen kepada RM18.22 dan RM34.20, manakala Hong Leong Bank menokok 18 sen kepada RM22.40.
Bagi kaunter rugi utama, Nestle susut RM1.00 kepada RM98.00, United Plantations merosot 58 sen kepada RM33.60, Petronas Dagangan turun 38 sen kepada RM20.20, Allianz Malaysia berkurang 30 sen kepada RM20.90 dan PPB Group susut 26 sen kepada RM11.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 32.57 mata kepada 12,383.78, Indeks FBM Emas menambah 25.18 mata kepada 12,543.35, Indeks FBM Mid 70 susut 35.15 mata kepada 17,688.58, Indeks FBM Emas Shariah berkurang 24.39 mata kepada 12,423.67, manakala Indeks FBM ACE merosot 16.67 mata kepada 4,582.98.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 202.77 mata kepada 20,017.45, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.32 mata kepada 186.72, Indeks Tenaga merosot 9.71 mata kepada 806.06, dan Indeks Perladangan turun 56.54 mata kepada 8,872.12.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.61 bilion berbanding 2.11 bilion unit bernilai RM2.81 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 959.07 juta unit bernilai RM144.65 juta daripada 871.58 juta unit bernilai RM107.56 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 385.58 juta unit bernilai RM160.66 juta berbanding 484.07 juta unit bernilai RM160.36 juta pada Jumaat minggu lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 265.37 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (250.74 juta), pembinaan (147.20 juta), teknologi (419.04 juta), perkhidmatan kewangan (79.57 juta), hartanah (120.37 juta), perladangan (27.12 juta) amanah pelaburan hartanah (16.48 juta), dana tertutup (20,600), tenaga (153.99 juta), penjagaan kesihatan (109.78 juta), telekomunikasi dan media (39.23 juta), pengangkutan dan logistik (21.96 juta), utiliti (34.78 juta) dan amanah perniagaan (47,000).
-- BERNAMA