SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang juga buruh binaan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dan dikenakan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas kesalahan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran dan permit yang sah.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Roslan Hamid, ke atas tertuduh K Krishnakumar, 40, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan.

Tertuduh yang telah berkahwin dan tidak mempunyai anak didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang dari enam sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Negeri Kedah, Zulfadzly Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Zulfadzly, meminta hukuman berat dikenakan selepas tertuduh mengaku bersalah sebagai pengajaran kepada orang awam kerana miliki senjata api tanpa kebenaran dan lesen yang sah boleh menyumbang kepada perlakuan jenayah hingga boleh menyebabkan kematian.

Bagaimanapun selepas mendengar rayuan tertuduh yang berpendapatan tidak seberapa selain terpaksa menyara seorang isteri dan ibu yang telah tua, Roslan menetapkan hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan terhadap tertuduh.

Krishnakumar ditahan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada jam 4.30 petang 30 Julai lalu di tepi bangunan kedai di Taman Ria Jaya selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan pihak polis kemudiannya menemui sepucuk pistol jenis berwarna hitam buatan Amerika Syarikat, tiga butir peluru dan tiga kelongsong peluru terselit di bahagian hadapan pinggangnya.

Selain positif dadah jenis methamphetamine, Krishnakumar turut mempunyai 14 rekod berkaitan dadah, jenayah lampau termasuk dikehendaki kerana melarikan diri daripada pusat pemulihan dadah.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 2, T Santhana Samy, 48, yang dituduh di bawah Seksyen 9, akta sama kerana mengetahui pemilikan senjata api oleh rakannya itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Santha Samy ditahan pada pukul 10.30 malam hari sama di Taman Keladi selepas rakannya diberkas polis tetapi mengaku tidak mengetahui pemilikan sepucuk pistol oleh rakannya itu.

Hakim Azman kemudiannya menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menantikan proses rawatan Santha Samy kerana mengalami masalah kesihatan.

Tiada jaminan ditawarkan oleh Hakim Azman terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.