Kemelut bekas jurulatih skuad bola sepak Terengganu James Butler akhirnya terurai apabila beliau dilantik mengendalikan pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super tahun depan.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Program Khas Sukan/T-Team Ab Rashid Jusoh berkata T-Team memilih Butler bagi menggantikan bekas pemain Liverpool Robbie Fowler.

"Fowler tidak jadi datang kerana mempunyai komitmen yang lain, walaupun kita berminat untuk menggunakan khidmatnya tahun depan," katanya.

Ab Rashid berkata Butler akan memulakan tugas untuk melatih pasukan T-Team pada 18 Nov ini di padang Kompleks Sukan Gong Badak.

Butler sebelum ini bergelut dengan kontroversi apabila beliau dikenakan tindakan gantung selama enam bulan dan denda RM4,000 oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana melanggar peraturan badan induk itu.