Jurulatih pasukan T-Team, Peter James Butler kecewa dengan prestasi dan mutu permainan dua pemain import pasukan itu musim ini.

Menurut pengendali kelahiran England itu, biarpun telah mengharungi lima perlawanan setakat ini, kedua-dua pemain berkenaan masih gagal mempamerkan apa yang dimahukannya serta buntu dalam mencipta sebarang gol.

"Nyata saya masih kecewa dengan persembahan Caleb Folan yang mengemudi barisan hadapan kerana sehingga sekarang pemain itu gagal mempamerkan aksi permainan sebenar.

"Manakala George Boateng (barisan tengah) terpaksa kita rehatkan akibat kecederaan hamstring yang masih dialami pada perlawanan lepas," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pasukan T-Team menentang Lions XII petang tadi.

Butler berkata pihaknya akan mengkaji dan merombak percaturan di mana dua pemain import itu mungkin tidak akan diturunkan dalam masa dua atau tiga minggu dari sekarang bagi mengembalikan moral dan kecergasan mereka.

Beliau yakin dengan percaturan itu dapat membentuk pasukan lebih mantap dan percaya dengan kebolehan pemain-pemain tempatan yang kini menunjukkan permainan positif musim ini.

Pada aksi menentang pasukan Lions XII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, T-Team mencipta kemenangan kedua setelah mengenepikan cabaran anak buah V.Sundram Moorthy dengan kemenangan tipis 1-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-74.

Sementara itu, Sundram Moorthy yang tidak berpuas hati berkata beliau akan melihat semula rakaman perlawanan sama ada bola terkena tangan anak buahnya.

"Saya akan melihat semula ulang tayang perlawanan ini, itu yang penting sekali. Saya juga tidak boleh mengubah keputusan hari ini dan perlu meneruskan saingan Liga Super," katanya.