CAAM siasat helikopter peribadi mendarat di Shah Alam

Bernama
Jun 15, 2023 01:40 MYT
Video kejadian yang dirakam penduduk menunjukkan helikopter terbabit mendarat untuk menghantar seorang pelajar daripada sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan siasatan berhubung pengoperasian sebuah helikopter peribadi jenis G2CA-Cabr yang dilaporkan mendarat di Shah Alam, Selangor pada 17 April lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan semalam berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Arahan Penerbangan Awam (CAD).
Pada Selasa, tular video di media sosial mengenai sebuah helikopter yang mendarat di kawasan lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya Seksyen U11, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan Selasa turut memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, CAAM mengingatkan semua pengendali pesawat bahawa pematuhan penuh kepada peraturan dan arahan adalah wajib bagi memastikan keselamatan orang awam dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.
-- BERNAMA
#heikopter mendarat di Shah Alam #CAAM #siasatan #Norazman Mahmud