KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bertemu pemain industri kurier Rabu ini, bagi membincangkan secara menyeluruh mengenai cabaran dihadapi sektor itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap, pertemuan berkenaan akan merungkai langkah penambahbaikan dalam mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain industri berkenaan.

"Sektor kurier ini memang menghadapi beberapa cabaran dan kebanyakan cabaran diutarakan ialah berkenaan kos operasi, dan apa yang mungkin sebahagian daripada mereka katakan sebagai keadaan yang tidak kompetetif.

"Tetapi mungkin kami menerusi MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang melihat kepada perkara itu dan insya-Allah, akan ada sedikit langkah, usaha dan ikthiar untuk membantu industri melahirkan keadaan yang lebih berdaya hidup," katanya kepada media selepas merasmikan Pelan Hala Tuju Kelestarian Pos Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan pelaksanaan Pakej Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang diperkenalkan kerajaan Jun 2021.

PAKEJ merupakan pelan tindakan lima tahun yang bertujuan untuk mempertingkat kualiti perkhidmatan kurier (QoS) dan kelancaran liputan bagi menyokong pertumbuhan industri e-dagang kepada 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata ia bukanlah suatu yang mustahil untuk Malaysia melihat penggunaan teknologi baharu seperti dron untuk membuat pengambilan atau menghantar bungkusan dalam masa yang terdekat.

"Saya percaya pelbagai pemain industri sedang melihat kepadanya, sama ada ia boleh dilakukan atau belum lagi, disebabkan kepada kekangan fizikal.

"Ini kerana jika kita membuat pengambilan atau penghantaran bungkusan menggunakan cara ini (dron), terdapat kekangan tertentu tetapi saya boleh lihat perkara itu kerana sektor logistik dron semakin berkembang, dan kita telah pun mempunyai syarikat dron terbesar di dunia berpangkalan di Malaysia, saya percaya kita berkemungkinan ke arah itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi meneaskan bahawa terdapat keperluan mendesak dan tekanan untuk syarikat pos untuk mencari imbangan antara keuntungan dan menjaga impak persekitaran, disebabkan kerisauan mengenai perubahan iklim dan kemerosotan keadaan alam sekitar yang meningkat.

Beliau berkata perubahan perubahan seperti itu juga memerlukan syarikat pos untuk mengadaptasikan amalan yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap persekitaran, selaras dengan komitmen Malaysia menjadi sebahagian daripada transisi dunia kepada rendah karbon dan akhirnya masyarakat neutral karbon menjelang 2050.

-- BERNAMA