KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan tokoh tempatan atau naratif domestik di Malaysia dimanipulasi oleh pihak luar bagi menguasai persepsi masyarakat, satu bentuk pencerobohan secara halus dan berbahaya.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata Malaysia hari ini mempunyai nilai strategik yang semakin meningkat, sekali gus negara berpotensi menjadi perebutan blok kuasa besar dunia.
Advertisement
"Kita terletak di Selat Melaka dan Laut China Selatan, yang dilalui kira-kira 30 hingga 40 peratus perdagangan minyak antarabangsa.
"Selain faktor geografi, peranan Malaysia dalam industri semikonduktor serta pengeluaran unsur nadir bumi (rare earth) turut meningkatkan kepentingan strategik negara.
"Malaysia dan Asia Tenggara pada masa depan berkemungkinan menjadi tapak perebutan pengaruh antara kuasa besar dunia," ujar Raja Nushirwan dalam wawancara khas bersama sebuah stesen televisyen tempatan, pada Rabu.
Tambah beliau, antara cabaran menangani pengaruh asing dalam negara adalah kekangan perundangan kerana ia belum disentuh secara khusus menerusi kerangka undang-undang sedia ada.
“Jika dilihat Kanun Keseksaan ketika ini, isu 'foreign interference' tidak dirangkumi secara khusus, jadi kita sedang dalam proses menambah baik aspek tersebut.
"Selain itu, satu lumrah dalam pengurusan keselamatan, khususnya perisikan, maklumat yang sering kali diterima adalah tidak sempurna, tetapi kita tetap perlu membuat keputusan bagaimana untuk bertindak.
"Sekiranya matlamat pengaruh asing itu adalah untuk menyerang institusi negara sehingga ia tidak lagi dipercayai, dan terdapat bukti yang kukuh, maka perkara tersebut harus disiasat,” jelasnya.
Seterusnya Raja Nushirwan menegaskan isu keselamatan negara tidak wajar dipolitikkan kerana tindakan sedemikian boleh mengancam kestabilan negara.
"Perlu diingat, keselamatan negara bergantung kepada kekuatan dalaman Malaysia sendiri, peranan kritikal oleh kerajaan dan rakyat, bukan tangan orang luar," kata Raja Nushirwan.