KUALA LUMPUR: Komitmen berterusan di setiap peringkat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) penting dalam menangani pelbagai cabaran dalam sektor perikanan negara khususnya pascapandemik COVID-19, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ronald Kiandee.

Menurut beliau, komitmen itu juga penting bagi memperkukuhkan sektor perikanan agar hasil perikanan sentiasa mencukupi dalam terus menjamin sekuriti makanan negara.

Beliau berkata dalam negara melangkah ke hadapan, cabaran dalam subsektor perikanan pasti wujud antaranya berkaitan perubahan iklim, pengurangan sumber asli, penangkapan yang berlebihan dan isu nelayan asing tanpa izin.

Selain itu, Ronald berkata cabaran juga berkaitan dengan kebergantungan subsektor perikanan kepada pekerja asing, kekurangan penglibatan belia serta tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang rendah.

"Cabaran-cabaran ini tentu sekali akan menjejaskan prestasi subsektor ini dan kesejahteraan golongan sasar pada masa hadapan, sekiranya tidak ditangani dengan baik walaupun subsektor ini telah mencapai Tahap Sara Diri (SSL) melebihi 90 peratus secara konsisten dalam tempoh 10 tahun yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) LKIM di sini malam tadi.

Seramai 103 kakitangan LKIM pelbagai gred dan jawatan telah dianugerahkan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1,000 pada majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Lembaga LKIM Yusoff Othman.

-- BERNAMA