Cabul kanak-kanak: Polis tahan dua lelaki termasuk guru muzik

Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam dua kes cabul kanak-kanak di Terengganu. - Foto hiasan
KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam dua kes cabul kanak-kanak di Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek pertama, yang juga guru muzik berusia 54 tahun, ditahan di rumahnya pada 15 Nov lepas susulan aduan ibu bapa.
Beliau berkata suspek, yang mengajar di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus, didakwa mencabul empat murid berusia antara tujuh hingga 10 tahun pada 13 Nov lepas.
"Suspek telah direman selama lima hari bermula 16 Nov lepas untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," menurutnya dalam kenyataan hari ini.Azli berkata suspek kedua pula, yang juga bapa saudara mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun, ditahan petang semalam di rumahnya.
"Suspek direman selama lima hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut akta sama.
"Polis menasihatkan ibu bapa supaya mengambil cakna dan meningkatkan tahap kefahaman kanak-kanak mengenai jenayah cabul melalui penerapan dan pendidikan awal di rumah," katanya sambil menambah suspek kedua berusia 23 tahun dan merupakan seorang peniaga.-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


