KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan semula pertanian bandar di Kuala Lumpur dan memberi peluang kepada golongan belia untuk terlibat dalam projek tersebut.

Cadangan tersebut disuarakan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Naseer Mohamed yang berkata, ramai belia di negeri lain terlibat dalam bidang pertanian namun di Kuala Lumpur, jumlahnya agak kurang.

Jelasnya, usaha sebegitu perlu dilakukan memandangkan sekuriti makanan kini menjadi antara topik perbualan hangat di Malaysia yang turut menjejaskan penduduk di ibu kota.

BACA: Mindef mahu wujud kawasan tanaman di kem tentera, jamin sekuriti makanan - Hishammuddin

“Kalau kita lihat sekarang, sekuriti makanan itu sangat penting untuk anak muda.

“Saya cadangkan kerajaan supaya beri tanah-tanah kosong dalam Kuala Lumpur, beri kepada anak muda untuk mereka tanam apa yang mereka minat untuk tanam dalam kawasan tertentu.

“Ini cadangan saya kepada kerajaan kerana ekonomi anak muda ini penting untuk negara,” katanya.

Tambah Mohamad Naseer, beliau cakna dengan kekurangan tanah di Kuala Lumpur namun mencadangkan kerajaan atau agensi memajak tanah yang belum diguna dan berikan peluang untuk anak muda menanam tanaman.

Sekuriti Makanan | Utamakan industri pertanian makanan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 2, Penggal Ke-33 Sesi 2021-2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia menambah baik dan mengolah semula Pelan Tindakan membabitkan komoditi makanan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) untuk memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin.

Sekuriti Makanan | Usahakan tanah terbiar untuk pertanian

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata langkah itu membabitkan Dasar Agro Makanan Negara 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN), khususnya apabila negara sebelum ini belum berhadapan keadaan pasca pandemik yang mencabar.

Beliau berkata, perkembangan terkini membabitkan konflik geopolitik (peperangan Russia-Ukraine) dan kesan penutupan sempadan ketika pandemik menimbulkan keperluan itu.