KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti cadangan untuk menginstitusikan amalan bagi mendapatkan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak berhubung pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di dua negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu yang merupakan satu daripada tuntutan asas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedang dibincangkan dalam platform perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.

Beliau berkata Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa melantik Pesuruhjaya Kehakiman tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.

"Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menginstitusikan amalan berkenaan sedang dalam perbincangan dan penelitian kerajaan. Tuntutan asas MA63 ini akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 dan MTPMA63 sehingga mencapai satu penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak terlibat," katanya.

Fadillah yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak berkata demikian semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Fadilah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sebanyak 10 perkara atau tuntutan asas MA63 berjaya diselesaikan sepenuhnya, satu diselesaikan sebahagian, manakala tiga telah mempunyai keputusan dasar dan 15 masih dibincangkan.

Beliau berkata antara perkara yang diselesaikan ialah penyerahan semula kuasa pentadbiran terhadap Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah, pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi melantik wakil kerajaan dua negeri berkenaan sebagai anggota tetap LHDN.

Perkara yang masih dibincangkan pula antaranya termasuklah berkaitan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, hak negeri bagi pelantar benua, pertambahan perjawatan perkhidmatan awam negeri, "Borneonisasi" perkhidmatan awam Persekutuan dan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA