Cadangan untuk menjadikan gabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) sebagai satu parti tunggal dilihat sebagai langkah efektif dalam usaha memastikannya relevan pada masa hadapan.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman cadangan itu perlukan kajian yang menyeluruh andai hala tuju sebenar parti tersebut dapat dicapai.

“Sudah dua kali pilihan raya, BN gagal meraih sokongan majoriti dua pertiga dan sudah tiba masanya mereka perlu memikirkan sesuatu untuk ‘rejuvenate’ semula kepercayaan rakyat kepada parti tersebut agar kembali relevan,” kata Mohammad Redzuan.

Beliau menambah, mungkin akan ada beberapa pihak yang setuju dan tidak setuju mengenai cadangan ini, namun usaha ini perlu diteruskan untuk menjadikannya terus relevan.

“Sekarang sudah jelas, terdapat beberapa parti-parti lain dalam BN yang tidak lagi mendapat sambutan jadi adalah harus satu perjalanan perubahan perlu diwujudkan dan ini adalah salah satu darinya,” katanya lagi.

Menurut beliau, perubahan struktur parti tidak akan menyebabkan penggubalan polisi kerajaan yang berpandukan kaum dan etnik terhapus dalam masa singkat.

“Di Malaysia ini, faktor dasar polisi berteraskan kaum dan etnik masih berlaku terutama dalam sistem ekonomi, pendidikan dan politik kerana ianya sudah diterapkan semenjak lebih dari 50 tahun dahulu dimana bermulanya sistem ekonomi kapitalis. Oleh hal demikian, adalah sukar untuk menghapuskan dasar-dasar tersebut dalam hanya beberapa tahun sahaja,” tambah beliau.

Tambahnya lagi, segala yang dipraktikkan itu telah pun berakar umbi dan ini reality yang berlaku.

“Mungkin dari segi slogannya menggambarkan satu kesepakatan dari semua parti namun dari segi realitinya, ianya tidak mudah untuk melakukan perubahan selagi sistem pendidikan, ekonomi dan lain-lain menggunakan cara yang sama,” kata Mohammad Redzuan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan BN untuk menjadi sebuah parti tunggal itu ada rasionalnya dimana ianya dapat membolehkan satu haluan dan kelangsungan parti itu dapat direncanakan.