PRK Kinabatangan: Mohd Naim Kurniawan penuhi tiga prasyarat calon BN

Mohd Naim Kurniawan disifatkan memenuhi prasyarat legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi dan keupayaan membawa mandat rakyat.
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar memenuhi tiga prasyarat penting untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata anak bekas Pengerusi UMNO Sabah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu, memenuhi prasyarat legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi dan keupayaan membawa mandat rakyat.
Beliau berkata keupayaan Mohd Naim Kurniawan memenuhi prasyarat itu penting, kerana dalam kerangka sains politik, kesinambungan kepimpinan bukan sekadar berkisar soal keturunan semata-mata.
"Beliau (Mohd Naim Kurniawan) dipilih melalui pertimbangan institusi parti, disokong jentera akar umbi dan membawa nilai kesinambungan perjuangan yang telah diterjemahkan melalui khidmat, bukan simbolik semata-mata.
"PRK Kinabatangan bukan ujian individu, tetapi ujian terhadap kestabilan institusi politik, kepercayaan rakyat dan keupayaan BN mengekalkan mandat pembangunan di kawasan yang strategik dan mencabar," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata UMNO Sabah menyambut baik langkah itu dan akan berdiri teguh, bersatu serta fokus memastikan suara rakyat Kinabatangan terus terbela secara berprinsip, berwibawa dan berterusan.
Hari ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Mohd Naim Kurniawan dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRK akan datang.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.
Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov lepas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


