Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) telah mengemukakan kepada kerajaan permintaan pengusaha bas ekspres untuk menaikkan tambang bas sehingga 30 peratus.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata permintaan pengusaha bas itu wajar berikutan peningkatan kos yang ditanggung dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menimbangkannya.

"Kami fikir permohonan itu munasabah oleh kerana keperluan yang mendesak. Kita sudah membuat syor kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran penjenamaan semula pakaian seragam pemandu bas ekspres Mutiara di sini, hari ini.

Syed Hamid berkata SPAD cuma menunggu keputusan muktamad daripada kerajaan untuk mengumumkannya kepada pengusaha bas ekspres.

"Saya harap kerajaan akan membuat keputusan secepat mungkin. Saya fikir apa yang pasti diteliti kerajaan tentulah tidak membebankan rakyat selain mengelak timbul masalah lain," katanya.

Syed Hamid juga berkata pengusaha dan pengendali bas ekspres Pantai Timur yang beroperasi di Hentian Putra Kuala Lumpur sudah diarah berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan berkuatkuasa 1 Disember ini.

Katanya TBS mempunyai kapasti yang mencukupi untuk menampung keperluan jumlah bas Pantai Timur selain mempunyai pelbagai kemudahan serta mampu memberi keselesaan kepada pengguna.

Syed Hamid berkata SPAD juga menggalakkan kerjasama dan penglibatan syarikat persendirian untuk membina terminal di lokasi yang sesuai di negeri masing-masing.