Cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mahu melaksanakan bazar Ramadan berkonsepkan tiga kaedah tertentu tidak menjamin keselamatan khususnya penularan wabak COVID-19.

Master, Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Prof Dr Rosmawati Mohamed berkata, tindakan itu bukan sahaja berpotensi mewujudkan kluster baharu, malah akan mensia-siakan kebaikan dan manfaat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun konsep bazar Ramadan yang diumumkan agak inovatif, namun AMM tetap tidak bersetuju dengan rancangan mengadakan bazar Ramadan.

“Ini kerana, tiga kaedah yang diumumkan itu tidak menjamin keselamatan dan penularan wabak. Objektif utama PKP dilaksanakan adalah untuk mengurangkan penyebaran virus melalui amalan jarak sosial atau 'social distancing'.

“Memandangkan populariti dan kesesakan bazar Ramadan, amalan jarak sosial yang mencukupi amat susah atau mungkin mustahil untuk dicapai. Pertembungan tidak dapat dielakkan sepenuhnya daripada berlaku sama ada dalam perjalanan, di kawasan bazar Ramadan, mahupun antara pelanggan dan peniaga,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan tiga kaedah baharu diperkenalkan bagi melaksanakan aktiviti bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan iaitu pandu lalu, tempahan awal, bungkus dan ambil, serta penghantaran ‘e-hailing’ sepanjang tempoh PKP.

Dalam pada itu, Dr Rosmawati berkata, AMM mencadangkan agar kerajaan melaksanakan kaedah bazar dalam talian menerusi perkhidmatan penghantaran.

Menurut beliau, langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko jangkitan serta mengelakkan perhimpunan khususnya di tapak bazar.

“Segala jenis perhimpunan seperti yang berlaku di bazar Ramadan memberi risiko tinggi untuk virus merebak secara mendadak dan boleh membawa kepada gelombang ketiga jangkitan COVID-19 sekaligus berpotensi menaikkan kadar kematian akibat pendamik itu,” jelasnya.