Cadangan mansuh hukuman mati dapat maklum balas positif - Liew

Bernama
Oktober 22, 2018 21:35 MYT
VUI KEONG: Langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat maklum balas positif daripada pihak antarabangsa. -Gambar fail
Langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat maklum balas positif daripada pihak antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.
Beliau bagaimanapun menegaskan cadangan itu masih dalam kajian proses penelitian menyeluruh dan ia akan diputuskan oleh Kabinet untuk tindakan lanjut.
"Selepas pihak Peguam Negara selesai dengan kajian mereka ia akan dibentangkan kertas itu kepada saya untuk dibawa ke peringkat jemaah menteri bagi mendapatkan keputusan," katanya selepas menghadiri rakaman program UPSOUND terbitan Bernama News Channel bagi membincangkan isu bertajuk 'Mansuh Hukuman Mati' yang akan bersiaran pada 8.30 malam, Rabu ini.
Liew berkata selepas mendapat kelulusan Kabinet, cadangan pemansuhan hukuman itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diputuskan.
"Sekiranya dapat... kita proses (dibentang pada persidangan Dewan Rakyat) tahun ini, dan sekiranya tak sempat kita akan proses tahun hadapan pada sesi akan datang, 2019 pada bulan Mac," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
BACA: Mansuh hukuman mati: AADK mahu hukuman setimpal
BACA: Mansuh hukuman mati untuk semua kesalahan jenayah
BACA: Kaji semula mansuh hukuman mati mandatori - Pas
Liew berkata langkah pemansuhan hukuman itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang positif dengan langkah tersebut.
Pada 7 Okt lalu, Liew memaklumkan kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #hukuman mati #kabinet #Kajian #Liew Vui Keong #mandatori #mansuh #PBB #peringkat akhir