DEWAN Negara sering mendapat kritikan daripada ahli politik dan akademik. Pertama, senator tidak dipilih melalui pilihan raya. Kedua, Dewan Negara tidak memberi kesan signifikan dalam membuat undang-undang. Ketiga, kebanyakan ahli senator terdiri daripada ahli parti pemerintah. Justeru pembentukan jawatankuasa reformasi Dewan Negara dilihat boleh mengembalikan roh sebenar keberkesanan Dewan Negara.
Terdapat dua kaedah pelantikan ahli Dewan Negara berdasarkan senator hanya dipilih melalui undian dewan undangan negeri (DUN) dan pelantikan YDPA atas nasihat perdana menteri. Sebenarnya, sistem ini sama dengan Rajya Sabha di India. Ahli Rajya Sabha dipilih oleh badan perundangan negeri dan 12 orang dilantik oleh Presiden India.

Ramai yang tidak tahu, ahli senator mewakili negeri perlu mendapat kelulusan DUN negeri masing-masing. Secara tidak langsung, mereka dipilih dan tidak dilantik secara terus. Namun, tidak banyak DUN mendedahkan proses pengundian DUN bagi memilih ahli Dewan Negara. Berbeza pula dengan Rajya Sabha yang menggunakan kaedah single transferable vote untuk memilih ahli Rajya Sabha mewakili negeri.
Keberkesanan Dewan Negara turut dipersoalkan. Dewan Negara dilihat sebagai institusi yang dikuasai oleh pemimpin parti pemerintah dan menyokong undang-undang dan dasar kerajaan tanpa semakan yang berkesan. Kelamahan ini mungkin dapat diatasi apabila idea untuk mengubah Dewan Negara ke arah lebih demokratik selepas jawatankuasa reformasi Dewan Negara ditubuhkan sebagai badan ‘suara kedua’ rakyat.
Dalam merealisasikan hasrat ini, terdapat beberapa padnagan yang saya fikir boleh dilihat dan dikaji semula oleh jawatankuasa reformasi dalam usaha membawa perubahan kepada sistem Dewan Negara.

Pertama, memperkasakan peranan senator. Di Amerika Syarikat, senator diberikan peranan dalam membuat keputusan penting untuk negara seperti kelulusan ke atas pelantikan jawatan utama kerajaan, menyiasat menteri dalam jawatankuasa dan membincangkan terities negara. Kuasa mereka dilihat penting seperti ahli kongres. Berbanding Dewan Negara, senator mempunyai peranan yang terhad dan hanya mampu melengahkan undang-undang yang tidak dipersetujui.

Senator juga perlu diberi peluang terlibat dalam suruhanjaya siasatan bagi mengkaji sesuatu isu. Jika dahulu, senator seperti Janaky Athi Nahappan, diberi kepercayaan oleh Tun Razak mengkaji tentang pilihan raya kerajaan tempatan, maka senator hari ini juga perlu diberi kepercayaan yang sama oleh jemaah menteri.

Kedua, menubuhkan jawatankuasa pemilih buat senator Dewan Negara. Peranan dan kepakaran senator perlu digunakan semaksima mungkin. Lantikan senator ini juga sebenarnya berasakan perkara 45 (2) perlembagaan persekutuan. Mereka boleh menggunakan kepakaran dalam jawatankuasa pemilih. Seperti senat di Australia, yang menubuhkan jawatankuasa pilihan seperti ekonomi, pertahanan dan hubungan luar negeri serta pendidikan. Rakyat dan organisasi juga dapat bekerjasama dengan senator melalui jawatankuasa ini, selain daripada wakil rakyat di parlimen.

Ketiga, ahli senator perlu ditambah. Negara berhadapan dengan saingan global dan tempatan memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang tertentu seperti ekonomi, sains dan alam sekitar dan inovasi dalam Dewan Negara. Setiap negeri boleh memilih lebih daripada tiga orang senator berdasarkan perlembagaan persekutuan, perkara 45 (a). Penambahan ini bagi mempelbagaikan perwakilan setiap negeri dengan membawa hasrat rakyat dalam isu dasar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang kian penting selepas proses pertama pertukaran kerajaan persekutuan dalam sejarah Malaysia.

Keempat, memanjangkan tempoh persidangan Dewan Negara. Masa perlu diberikan kepada Dewan Negara untuk meneliti dasar dan berbahasa di parlimen. Limitasi masa ini juga mencerminkan kedudukan Dewan Negara tidak diambil kira dengan saksama. Pada tahun 2019, Dewan Negara bakal bersidang hanya 25 hari sahaja berbanding dewan rakyat, iaitu 68 hari. Berbeza pula dengan dewan Senate di Australia yang bersidang sebanyak 56 hari setahun.

Jawatankuasa reformasi juga boleh mempertimbangkan kajian tentang keberkesanan pemilihan senator menerusi pilihan raya. Perkara 120 perlembagaan persekutuan seperti membenarkan ahli Dewan Negara dipilih menerusi pilihan raya. Butiran ini harus dibincangkan jawatankuasa reformasi bersama SPR bagi melihat kemampuan mengadakan pilihan raya bagi Dewan Negara. Cadangan ini juga memerlukan kerjasama daripada dewan rakyat untuk menggubal undang-undang bagi membolehkan pilihan raya Dewan Negara diadakan.


* Fakhrurrazi Rashid adalah Kordinator Program Research For Social Advancement (REFSA)

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.