Cadangan naikkan umur persaraan: Akses pengeluaran simpanan KWSP bantu pesara perkukuh kestabilan kewangan

Cadangan menaikkan umur pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melebihi 55 tahun dilihat sebagai langkah yang mampu membantu pencarum memperkukuh kestabilan kewangan selepas bersara.
KUALA LUMPUR: Cadangan menaikkan umur pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melebihi 55 tahun dilihat sebagai langkah yang mampu membantu pencarum memperkukuh kestabilan kewangan selepas bersara.
Naib Presiden merangkap Penasihat Undang-Undang Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, inisiatif itu juga perlu disertai dengan jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

Datuk Indrani Thuraisingham
"Individu yang tidak lagi mampu bekerja dalam tempoh antara umur persaraan minimum dan (cadangan) umur pengeluaran KWSP ini mesti mempunyai akses kepada pencen atau bantuan sosial yang mencukupi.
“Ramai pesara menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas pengeluaran penuh pada usia 55 tahun.
"Jika trend ini berterusan, mereka berisiko hidup lebih lama daripada jumlah simpanan yang ada," katanya.
Dalam pada itu, Profesor Ekonomi dan Polisi Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid menyarankan kerajaan memperluas skim pencen sosial sebagai langkah jangka panjang bagi melindungi kebajikan warga emas yang tidak mempunyai simpanan persaraan mencukupi.

Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid
"Hampir 50 peratus pencarum hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 apabila mencapai umur 55 tahun, manakala purata keseluruhan sekitar RM40,000.
"Jumlah ini terlalu kecil untuk membiayai kos kesihatan yang semakin meningkat," kata beliau.
Katanya lagi, keutamaan juga perlu diberikan kepada langkah pencegahan awal semasa usia muda bagi mengurangkan beban penyakit kronik pada usia lanjut, terutama apabila jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat kepada 75 tahun secara purata.
Selain itu, Perunding Kanan Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Suzana Ali berkata ilmu pengurusan kewangan perlu diperkasa dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan setiap individu mampu merancang dan mengurus kewangan dengan lebih berkesan menjelang usia persaraan.

Suzana Ali
"Sebenarnya bila kita dapat ajar mereka tentang pengurusan kewangan kepada mereka, kita dedahkan tentang keadaan-keadaan semasa seperti bila seseorang mahu bersara, mereka tidak cukup wang, bila sakit, tiada wang nak bayar atau bila ada musibah yang menimpa mereka tiada duit untuk digunakan", ujarnya.
Mereka berkata demikian dalam Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI yang disiarkan pada Jumaat (7 November) ketika mengulas laporan kajian Bank Dunia bertajuk "Perlukah Malaysia memperluas pencen sosialnya? Bukti global, isu pelan dan pilihan" yang diterbitkan pada bulan lalu.
Menerusi laporan itu, Bank Dunia mengatakan umur akses pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 55 tahun dianggap terlalu rendah bagi struktur demografi Malaysia yang semakin menua.
Justeru, penetapan umur akses antara 65 dan 70 tahun akan kelihatan lebih sejajar dengan demografi Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


