KUALA LUMPUR: Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) melalui kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia mahupun pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan DiRaja  tidak akan mengganggu urusan harian pendeposit.  

TH dalam satu kenyataan dalam masa sama berkata, operasi hariannya akan berjalan seperti biasa.

"Keyakinan dan kepercayaan ini adalah satu amanah yang amat berat dan TH perlu sentiasa berusaha untuk menambah baik dan mengukuhkan tadbir urus dan operasinya bagi menjaga kepentingan pendeposit.

"Atas keperluan tanggungjawab ini, Kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ini akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

"Cadangan model baharu operasi TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH." kata kenyataan itu lagi. 

BACA: Kabinet setuju tambah baik pengurusan, operasi TH secara menyeluruh

TH juga memberi jaminan kepada umat Islam khususnya 8.3 juta pendepositnya bahawa akan mengesyorkan hak mutlak pengurusan dan operasi Haji terus kekal bersama TH, jaminan kerajaan ke atas deposit di TH di bawah seksyen 24 Akta Tabung Haji tahun 1995 terus kekal untuk kepentingan para pendeposit serta penglibatan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh.

Selain itu, TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi, dan pelaburan untuk kepentingan para pendeposit, terus kekal relevan melalui usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif ini dan berkerjasama dan terlibat dalam kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara. 

Justeru, TH menyarankan agar kajian menyeluruh oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan TH perlu dibuat untuk menilai model operasi baharu yang dicadangkan, di samping mengambil kira kapasiti sedia ada TH termasuklah aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia, dan lain-lain.

"Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit,"tambah TH.