PUTRAJAYA: Cadangan agar penjawat awam bekerja dari rumah bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam berdepan kesan akibat konflik geopolitik tidak akan membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan buat masa ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua sektor terbabit adalah kritikal dan bersifat barisan hadapan.
Advertisement
"Waktu ini cadangan tersebut tidak membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan. Tidak membabitkan dua sektor berkenaan yang bersifat barisan hadapan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Selasa.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perincian cadangan itu akan disusun dengan lebih rapi sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) selepas Aidilfitri.
Jelas beliau, Jemaah Menteri telah menerima laporan awal berkaitan perkara itu yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Perdana Menteri telah minta supaya beberapa perkara disusun dengan lebih rapi dan dibentangkan untuk dibuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang akan datang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pelaksanaan ketika ini tertumpu kepada sektor awam memandangkan jumlah penjawat awam yang besar dan signifikan.
Beliau berkata, sektor swasta tidak dihalang untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah sekiranya mempunyai keupayaan, namun ia tidak tertakluk kepada penyelarasan kerajaan.
“Bagi sektor swasta memang ada syarikat sejak pandemik mengamalkan dasar bekerja dari rumah dan ia tidak dihalang sekiranya mereka merasakan ada keperluan,” ujarnya.