Skip to main content

Malaysia

Cadangan tambah baik pakaian lokap wanita akan diusul rentas kementerian - Marhamah

KOTA BHARU, 23 April -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli ditemui pemberita selepas merasmikan Program Little Hajj 2026 anjuran Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB) di Masjid Jamek Muhammadi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Marhamah berkata penekanan terhadap pematuhan syariat berkenaan merupakan tuntutan agama yang tidak boleh dikompromi. -Gambar/ Bernama

KOTA BHARU: Cadangan penambahbaikan berhubung pakaian lokap bagi tahanan wanita supaya lebih mesra syariah dan menepati tuntutan menutup aurat akan diusulkan menerusi perbincangan rentas kementerian, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.

Beliau berkata penekanan terhadap pematuhan syariat berkenaan merupakan tuntutan agama yang tidak boleh dikompromi.

Advertisement

"Berkenaan dengan aurat, kita tidak ada kompromi sebab itu adalah hukum dan wajib kepada semua.

"Dalam apa keadaan sekali pun, bagaimana kita rasa terdesak sekali pun, aurat ataupun syariat Allah perlu kita pertahankan dan tegakkan. Itulah (pendirian) daripada pihak hal ehwal agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Little Hajj by Little Caliphs di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat cadangan agar pakaian lokap wanita diubah suai bagi memastikan lebih menutup aurat.

Marhamah berkata memandangkan pengurusan balai polis dan lokap tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian lain, perkara itu perlu diperhalusi bersama pihak agensi terlibat.

"Insya-Allah, kita akan bincangkan demi penambahbaikan. Untuk perkara kebaikan, kita sentiasa akan usulkan dan mencadangkannya," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak mempersoal pakaian lokap dipakai seorang guru kerana tidak menutup aurat sepenuhnya, ketika proses reman berkait kes pelajar dirempuh kereta sekali gus menyarankan pakaian lokap untuk wanita ditambahbaik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video