KUALA LUMPUR: Syor bagi mewujudkan kawasan khas merokok khususnya di premis makanan yang mempunyai kawasan sempit masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan orang ramai termasuk libat urus bersama pemilik premis dan penjaja seperti yang diadakan baru-baru ini.

"Itu adalah asal pandangan kami. Kita adakan libat urus dengan lebih 30 pemilik premis dan penjaja. Kalau ia (kawasan khas merokok) diminta, kami akan pertimbangkan dan melihat kepada praktikalnya atau kemunasabahan perkara itu dilakukan.

"Maksudnya kami mendengar, bukannya terlalu 'rigid'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Jawatankuasa Codex berkaitan Minyak dan Lemak (CCFO) sesi ke-28 di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata hasil pemerhatiannya semasa berkunjung ke premis makanan yang sempit dan terbuka mendapati individu tidak merokok seperti kanak-kanak, ibu mengandung serta warga tua berasa tidak selesa apabila terhidu asap rokok daripada perokok sekitar mereka.

"Cumanya, kalau kita mahukan tiga meter beri kelonggaran untuk merokok dilaksanakan, kita perlu beri ruang memandangkan Jalan Alor, Bukit Bintang (contohnya) (ketika) saya turun padang lihat sendiri, adalah hampir mustahil untuk kita laksana (jarak) tiga meter.

"Jadi bagi mereka yang mahu merokok di situ, duduk di situ beberapa jam, kami boleh pertimbangkan sebaiknya kewujudan ruang merokok dan ini tidak tertakluk pada Jalan Alor sahaja tetapi mana-mana situasi yang mempunyai kekangan melaksanakan ruang, kami akan pertimbangkan dengan syarat yang sangat ketat," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KKM akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit sepertimana dilakukan di negara maju seperti Singapura, Jepun dan Hong Kong.

Penekanan tersebut diberi kepada premis di kawasan sempit dan agak sukar mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.

-- BERNAMA