Kementerian Sumber Manusia meminta semua pihak berkaitan termasuk Majikan Amah Malaysia (Mama) mengemukakan cadangan secara rasmi berhubung kos pentadbiran pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerajaan terbuka kepada mana-mana cadangan yang mengemukakan kos pentadbiran lebih murah dan berkesan serta dapat dilaksanakan.

"Tiada monopoli atau had masa dalam perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran projek 'Swamiji 150' sempena ulang tahun ke-150 'Swami Vivekanda' di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga hari ini, hanya Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) mengemukakan cadangan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Papa pada Jumaat minggu lalu mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada RM6,700, berkuatkuasa serta-merta.

Struktur kos baharu itu tidak termasuk tambahan RM1,000 sebagai pinjaman kepada pembantu rumah untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga Kerja Indonesia Sektor Domestik di Indonesia.

Mama membantah cadangan Papa itu, menyifatkan kos itu tidak munasabah dan membebankan majikan.

Dr Subramaniam turut mengingatkan bahawa semua urusan dan pentadbiran pengambilan itu dilaksanakan melalui proses antara kerajaan Malaysia dan Indonesia sahaja bagi mengawal kos yang semakin meningkat.

Beliau juga berkata pihak kementerian akan sentiasa memantau harga pasaran dan akan campur tangan sekiranya ia melampaui batas.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata cadangan kos oleh PAPA merupakan pengurangan besar daripada RM12,000 kepada RM6,700.

"Kos terbabit sudah diturunkan berbanding cadangan awal PAPA sebanyak hampir RM12,000. Kalau dibandingkan dengan harga pasaran, kebanyakan majikan masih lagi membayar pada harga RM11,000 hingga RM12,000," katanya.

Mengenai gaji minimum, Dr Subramaniam menegaskan pekerja asing tidak boleh dikecualikan daripada gaji minimum kerana Akta Pekerjaan tidak membenarkan diskriminasi antara kumpulan pekerja berdasarkan kewarganegaraan.

"Kami (kerajaan) mengumumkan pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa 1 Jan tahun ini. Kami telah berikan masa lapan bulan kepada majikan untuk membuat persediaan dan kini sudah tiba peringkat pelaksanaan.

"Bagaimanapun, kami akan membantu majikan yang terjejas menerusi mekanisme lain, tetapi bukan dengan menangguhkan pelaksanaan atau mengurangkan kuantumnya," katanya.