KUALA LUMPUR: Suatu ketika dulu, tradisi memasang pelita minyak atau panjut di kawasan rumah terutama di kampung-kampung menjadi sebahagian rutin penduduk di Terengganu khususnya pada malam tujuh likur.

Pemasangan pelita minyak itu memeriahkan suasana 10 hari terakhir Ramadan, yang lazimnya dihidupkan oleh umat Islam dengan pelbagai ibadat demi mengejar malam Lailatul Qadar.

Bagaimanapun, seiring peredaran masa, tradisi itu semakin pudar dan sukar untuk dilihat ketika ini.

Bagi memastikan tradisi itu tidak dilupakan, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menghidupkan semula aktiviti memasang pelita dengan menganjurkan program Pelita Raya Terengganu yang diadakan di Taman Tamadun Islam, di sini.

Pemasangan pelita minyak itu memeriahkan suasana 10 malam terakhir Ramadan. - Gambar/ Bernama

Lebih unik pelita yang dinyalakan itu diperbuat menggunakan barangan terpakai seperti tempurung, tin minuman, buluh dan botol dan disusun serta dihias dengan pelbagai motif yang menggambarkan suasana hari raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program Pelita Raya Terengganu merupakan satu tradisi yang diadakan setiap tahun di Terengganu dengan tema dan konsep berbeza.

Katanya, menerusi program yang turut disertakan dengan pertandingan itu, para peserta boleh mempamerkan idea kreatif dengan membina replika atau monumen menggunakan hiasan pelita.

Program Pelita Raya Terengganu itu juga berpontensi untuk diangkat dipertandingkan di peringkat antarabangsa. - Gambar/ Bernama

"Inisiatif yang dilakukan ini bagi menunjukkan dan menggambarkan kepada generasi masa kini bahawa inilah pelita raya zaman dahulu yang menjadi tradisi masyarakat di Terengganu dan banyak negeri-negeri lain juga.

"Sekarang ini agak sukar untuk temui pelita dipasang di halaman rumah jadi kita kumpul di satu tempat seperti ini dan kita buka tempat ini supaya ramai orang ramai termasuk pelancong boleh datang dan lihat.

"Jadi kita sebenarnya secara tidak langsung mempromosikan aktiviti pemasangan pelita pada malam tujuh likur dan diharapkan, ramai orang terutama generasi muda kembali berminat untuk kembali memasang pelita di tempat masing-masing," katanya kepada Astro AWANI.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, Program Pelita Raya Terengganu juga berpontensi untuk diangkat dipertandingkan di peringkat antarabangsa pada tahun depan.

Jelasnya, pertandingan itu dilihat mampu menarik penyertaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Serawak serta negara terdekat seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.