KUALA LUMPUR: Caj rawatan RM1 bagi perkhidmatan kesihatan di premis kesihatan kerajaan dilihat sudah tidak lagi mampu menanggung kos sistem kesihatan negara.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman, banyak faktor yang perlu dipertimbang agar fi sedia ada dipertingkatkan.

Ia perlu demi perkembangan teknologi perkhidmatan, penambahbaikan fasiliti serta kemudahan dan kebajikan kakitangan kesihatan, katanya.

“Kita tak boleh bergantung sepenuhnya sepertimana yang kita lalui pada tahun 70-an dan 80-an dulu.

"Contohnya, dahulu sebungkus nasi lemak kurang daripada 20 sen. Melihat gaya hidup ketika itu, angka RM1 adalah sesuatu yang boleh diterima pakai.

“Namun, dengan perubahan teknologi ketika ini, kita perlu menerima perubahan. Maksudnya, reformasi yang pertama yang perlu dilaksanakan adalah penerimaan kita sebagai individu.

"Perlu rasional terhadap perubahan yang terpaksa dihadapi dalam konteks mendepani cabaran, terutama untuk kita mendapat sistem kesihatan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, kata Malina, kesihatan adalah satu perkhidmatan yang tidak wajar diberikan percuma secara selama-lamanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam diskusi Pantau Kos Sara Hidup berkenaan Kertas Putih Kesihatan: Manifestasi Kehidupan Rakyat. 

Caj rawatan RM1 tak lagi mampu tampung kos kesihatan negara

Dalam konteks perkembangan semasa, tegas beliau, tiada logiknya bagaimana tahap perkhidmatan kesihatan awam di negara ini diharapkan berubah, tetapi kos pembiayaannya masih di tahap sama.

“Melihat kepada dinamik sesuatu sistem, sepatutnya tak ada satu sistem yang kekal lebih daripada 10 tahun dan sistem kesihatan kita pada hari ini sudah ada sejak lebih 40 tahun,

“Adalah tidak wajar kita mempertahankan suatu keadaan sehingga menyebabkan sebahagian sistem dalam perkhidmatan kesihatan tersebut terpaksa dikorbankan.

"Dan ini akan seterusnya menimbulkan kesan kepada penyediaan sumber manusia, yang mana doktor-doktor muda terpaksa bekerja secara kontrak,” katanya lagi.

Perkara itu, jelas Malina, adalah impak berterusan akibat sistem perkhidmatan kesihatan negara yang masih berada di takuk serupa setelah sekian lama.