PETALING JAYA: Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencalarkan kenderaan serba guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik seorang lelaki menggunakan pemutar skru sehingga menyebabkan kerugian RM8,000.

Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhi hukuman itu selepas Liew Wil Sheng, 29, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di parkir sebuah pangsapuri di Kota Damansara pada 3.13 petang 23 Dis lepas mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Farah Azura menasihati Liew agar tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia satu kesalahan jenayah.

"Memang kadang-kadang kita marah sangat, rasa nak calarkan kereta orang sebab kita bengang tapi marah macam manapun, jangan bertindak sedemikian kerana itu bukan penyelesaiannya," kata beliau yang memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun memohon agar Liew dijatuhi hukuman setimpal kerana nilai kerugian yang dialami mangsa agak tinggi.

Bagaimanapun, peguam Farith Emier Farhan memohon agar tertuduh dikenakan denda minimum atas alasan Liew tidak mempunyai pekerjaan tetap selain menghidap asma dan perlu menjaga bapanya yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Ketika menjawab soalan Farah Azura mengenai punca kejadian itu, Farith Emier berkata berlaku salah faham antara tertuduh dengan mangsa berkaitan perniagaan.

-- BERNAMA