Remaja perempuan yang dipercayai mencampakkan bayi baru dilahirkannya dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di sini, didakwa atas pertuduhan membunuh pada Khamis.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap M Santhea, 18, di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Pendakwaan dijalankan di wad bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana tertuduh masih menerima rawatan di hopital berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di laluan ke kawasan tempat meletak kenderaan di aras empat Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam pada 8.25 pagi 10 Julai lepas.

Bagi kesalahan itu dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh di wakili peguam RSN Rayer; S Meharaj; S Satish dan T. Turuvandran.

Terdahulu ketika prosiding, peguam tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin.

Nur Fadrina berkata Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jaminan dan permohonan itu boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi selepas kes dirujuk ke mahkamah itu.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 Ogos depan.

BACA: Pasangan kekasih ditahan kes campak bayi dari tingkat 13 pangsapuri

BACA: Campak bayi dari tingkat 13: Remaja wanita didakwa esok

Dalam kejadian jam 8. 25 pagi pada 10 Julai lepas, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut selepas dipercayai dicampak ibunya sendiri dari tingkat 13 Pangsapuri 25 tingkat itu.