KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya pucuk pimpinan negara melakukan diseksi atau pengasingan khusus, terhadap skop dan limitasi pembabitan kuasa politik dengan tugas penjawat awam.

Demikian pandangan penganalisis Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman, susulan pendedahan dibuat Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini.

"Sudah tiba masa diulang kembali saranan pernah dibuat sebelum ini, supaya pemilihan dan cadangan calon untuk diangkat ke jawatan strategik dan tertinggi, seharusnya dilakukan badan bebas diwakili pelbagai latar belakang, dan tidak seharusnya terikat dengan mana-mana dukungan politik.

"Selagi ia tidak dilaksanakan, selama itulah kemelut pertikaian antara kuasa politik dan tugas ketua jabatan dilantik, dengan jabatan, akan menghadapi dilema sama tanpa kesudahan," katanya.

Beliau yang merupakan Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS berkata demikian menerusi tulisannya bertajuk 'Halang campur tangan politik elak kemelut perebutan kuasa' di akhbar portal BH Online hari ini.

BACA: Suruhanjaya Pasukan Polis: Pinda dahulu Perlembagaan - Dr Shamrahayu 

BACA: KPN kritik campur tangan menteri dalam PDRM

BACA: "Bukan mirip, memang benar audio itu suara saya" - Hamzah Zainudin

Mohd Fadzil berpendapat, kuasa politik seharusnya lebih melihat kepada aspek dasar, hala tuju dan strategi yang ingin disasarkan, sesuai dengan kedudukan diberikan.

"Soal urusan pentadbiran, susun atur penempatan kakitangan dan cadangan kemajuan kerjaya sebaiknya tidak usah dicampuri.

"Berilah ruang dan hak untuk ketua dilantik diberikan peluang untuk melaksanakan tugas hakikinya.

"Hanya sekiranya berlaku pertikaian bagi kes benar-benar didapati mempunyai merit untuk dipertikaikan, di sinilah kehadiran dan campur tangan orang politik dalam pentadbiran dirasakan perlu," tulis beliau lagi.

Katanya, peranan ahli politik boleh dihadkan kepada bertindak sebagai penimbang tara terhadap satu-satu isu atau kes, bukan mentadbir urus secara mikro.

Perkara ini, kata Mohd Fadzil, telah dilaksanakan di sesetengah kementerian, tetapi, "sering kedengaran, tanpa sebab musabab kukuh, ada kalanya keputusan badan bebas sepatutnya bebas itu dipatahkan dengan hanya menggunakan kuasa politik."

Di sinilah, katanya, isu persempadanan skop tugas dan aspek pengagihan kuasa selayaknya diberikan perhatian amat mendalam.

"Tidak sepatutnya hak ketua dilantik untuk menguruskan jabatan di bawah kelolaannya itu boleh dijentik ketepi kerana kuasa politiknya sahaja," tambahnya.

Mohd Fadzil berkata, pendedahan terbuka dan telus oleh Abdul Hamid itu bukan sesuatu yang baharu.

"Sudah banyak kedengaran sebelum ini, pembabitan kuasa politik dalam pentadbiran perkhidmatan awam yang ada kalanya seolah-olah tidak bersempadan lagi.

"Ia pernah dan sedang berlaku sehingga tidak dapat dibezakan lagi antara peranan ketua dilantik dengan peranan ahli politik.

"Dalam kata lain, apabila soal pentadbiran rutin harian termasuk pertukaran kakitangan turut dicampuri secara 'tadbir mikro', tidak hairanlah isu yang sedang hangat diperkatakan itu mengundang banyak percakaran dalaman."