KUALA LUMPUR : Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 di Parlimen.

Pengerusinya, Zulfakar Mohamed berkata ia susulan pihaknya membantah cadangan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan "kepelbagaian Kesatuan Sekerja" dalam akta berkenaan.

"RUU ini mencadangkan untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan lebih daripada satu Kesatuan Sekerja wujud bersama dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa. 

"Ke arah mencapai objektif ini, RUU akan meminda sembilan peruntukan yang berkaitan dengan
"kepelbagaian Kesatuan Sekerja" dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

CAMU juga mendakwa kerajaan telah mengabaikan Analisis Impak Peraturan (RIA) yang dikeluarkan pada 15 Julai 2013, yang menetapkan bahawa sebarang cadangan peraturan baharu atau pindaan ke atas
peraturan akan melibatkan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

"Kerajaan juga tidak mengendahkan Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Perundingan Tiga Pihak yang memerlukan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan utama mengenai dasar buruh. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 14 Jun 2002," ujarnya. 

Justeru, CAMU menuntut kerajaan mengadakan dialog dengan Kesatuan Sekerja dengan segera bagi menyelesaikan isu berkenaan.