MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan untuk memberikan vaksin jenis CanSino kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Jelas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pemberian ini diputuskan kerana ia hanya memerlukan satu dos suntikan sekali gus memudahkan penduduk yang menghadapi kesukaran untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Malah ujarnya dengan pemberian vaksin jenis ini, mereka tidak memerlukan suntikan dos kedua dan ia juga akan mampu memberi perlindungan kepada golongan terlibat.

‘’Sekarang ini ada dua, satunya CanSino yang keduanya Johnson & Johnson tapi kerajaan negeri telah membuat keputusan bagi kita membeli CanSino dan kita harap mula-mula kita jangka hujung bulan Julai ini mungkin kita akan mendapat vaksin CanSino,” katanya.

Vaksin COVID-19 | Warga pedalaman Sarawak akan terima CanSino


Abang Johari berkata demikian semasa melakukan lawatan ke PPV Curtin University Malaysia di Miri pada Sabtu.

Terdahulu pada Jun, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak dijangka menerima vaksin COVID-19 jenis CanSino pada pertengahan Julai.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah memohon 650,000 dos vaksin CanSino daripada kerajaan pusat.

BACA: Sarawak dijangka terima 650,000 vaksin CanSino pertengahan Julai ini - Uggah

Antara lain, beliau juga berkata pemberian vaksin COVID-19 di Miri juga berada pada landasan positif, dengan capaian 72.5 peratus populasi telah menerima dos pertama atau 238,772 dan kira-kira 35 peratus bagi dos kedua bersamaan 114,634.

Malah, jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencatatkan pengurangan sekali gus memberi gambaran bahawa jangkitan COVID-19 di bandar itu menurun.

‘’Satu lagi perkara yang harus anda ambil perhatian ialah jumlah kemasukkan ke ICU telah menurun, bermakna tidak ada tekanan untuk ICU di sini.

‘’Ini bermakna kurang pesakit masuk ICU dan penggunaan katil di hospital juga kurang. Jadi, bilangan pesakit yang masuk hospital disebabkan COVID-19 juga menurun dan ini bermakna bahawa jangkitan COVID-19 juga telah menurun di Miri,’’ tambahnya.