KUCHING: Cara mencegah jangkitan COVID-19 tetap tidak berubah tanpa mengira jenis varian, yang memerlukan kerjasama orang ramai untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata ia termasuk pemakaian pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal di tempat awam atau sebaiknya kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting.

"Jangan menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan sosial, majlis atau sambutan keramaian buat masa ini kerana mungkin terdapat kehadiran individu yang dijangkiti sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohamed Sapian berkata mereka yang tidak sihat juga dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat kerja dan segera mendapatkan saringan serta rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala yang dikaitkan dengan COVID-19 seperti batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan.

"Langkah-langkah pencegahan ini walaupun nampak mudah namun ia tetap amat berkesan untuk membendung penularan wabak COVID-19," katanya.

Kenyataan tersebut menyusul selepas Sarawak sekali lagi mencatatkan angka kes harian melebihi 1,000 semalam dengan 1,566 kes sekali gus merupakan jumlah harian tertinggi di negeri ini direkodkan sejak Mac tahun lepas.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh empat hari Sarawak mencatatkan jumlah kes harian melebihi angka 1,000 selepas 1,216 kes dicatatkan Khamis lepas.

Dr Mohamed Sapian berkata sebanyak 73 peratus atau 1,144 daripada kes baharu yang dilaporkan semalam dikesan di Bahagian Kuching yang terdiri daripada daerah Kuching, Bau dan Lundu.

"Terdapat 45 kluster aktif di daerah Kuching, empat di Bau dan lima di Lundu (setakat semalam)," katanya.

Menurut Dr Mohamed Sapian kebanyakan punca perebakan dalam kluster tersebut boleh dikaitkan dengan aktiviti berkumpul secara sosial dan perjumpaan keluarga serta kegagalan mematuhi SOP di tempat kerja dan institusi.

-- BERNAMA