KUALA LUMPUR: Beberapa isu paling mendesak negara termasuk kemiskinan yang semakin meningkat dan ketaksamaan dalam masyarakat boleh ditangani melalui pendekatan serta penyelesaian baharu, titah Sultan Nazrin Shah.

Sultan Perak itu bertitah antara pendekatan itu ialah memperkasa belia dalam usaha mereka membantu golongan muda, tua dan terpinggir untuk mengatasi halangan struktur serta sistematik yang mereka hadapi.

Baginda bertitah ini boleh dicapai dengan menyediakan platform seperti Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa yang diwujudkan pada 2012 untuk memberi peluang kepada mereka yang berusia di bawah 35 tahun mencipta penyelesaian dan memacu perubahan bagi menangani beberapa keperluan negara yang paling mendesak.

"Sejak beberapa dekad lepas, dunia telah mengalami banyak perubahan yang menakjubkan dan mencatat pelbagai pencapaian penting. Negara kita turut mengalami perkembangan transformasi dalam ekonomi, infrastruktur dan modal insan.

"Namun di sebalik kejayaan luar biasa yang kita capai secara kolektif, manusia terus berdepan cabaran getir dalam segala-galanya daripada akses kepada keperluan asas seperti air, makanan malahan tempat berlindung, kemiskinan dan ketaksamaan yang semakin meningkat, peralihan tenaga yang begitu lembap serta salah urus sisa pepejal," titah baginda pada majlis penyerahan Geran Anugerah Merdeka di sini hari ini.

Justeru, Sultan Nazrin bertitah jika kita ingin mengubah naratif bagi memastikan masa depan yang lebih lestari untuk semua maka kita perlu menangani kebimbangan yang semakin meningkat ketika ini iaitu berkaitan penglibatan sosial dan pemuliharaan alam sekitar.

"Jika kita ingin menangani isu mendesak yang kita hadapi secara kolektif dengan berkesan, kita perlu mencari pendekatan dan penyelesaian baharu," titah baginda.

Selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Sultan Nazrin berkata geran Anugerah Merdeka diberikan kepada golongan muda yang berkelayakan bagi membolehkan mereka meneruskan projek di institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi membangunkan kepakaran mereka sendiri selain mengembangkan rangkaian masing-masing.

Tahun ini, lebih 160 orang di seluruh Malaysia mengemukakan permohonan bagi membolehkan mereka meneruskan penyelidikan dan merealisasikan impian kerjaya mereka melalui kaedah ini namun hanya lima penerima telah dipilih.

Mereka ialah Masni Mat Dong, seorang pensyarah dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman dan Syaza Soraya Sauli iaitu calon PhD bagi kategori pendidikan dan masyarakat dari Universiti Teknologi Malaysia.

Penerima lain ialah Dr Ng Chuck Chuan, Penolong Profesor Unversiti Xiamen Malaysia serta Pegawai Penyelidik Amaziasizamoria Jumail bagi kategori alam sekitar dan Felow Pasca-Kedoktoran Universiti Teknologi Nanyang, Dr Kong Xin Ying (kategori kesihatan, sains dan teknologi).

"Kelima-lima individu ini mewakili generasi belia yang menjadi nadi negara dan arkitek kemajuan masa depan kita.

"Dengan memberikan mereka peluang untuk membantu membayangkan semula masyarakat yang lebih inklusif tanpa meminggirkan sesiapa, kita menyumbang kepada maruah semua manusia," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

-- BERNAMA