MALAYSIA
CBET pemacu pelancongan lestari, jana pendapatan komuniti setempat

Kejayaan pelaksanaan CBET di Gunung Tebu itu adalah hasil inisiatif Koperasi Sahabat Gunung Tebu yang membabitkan lebih 50 penduduk kampung. - Gambar FRIM
KUALA LUMPUR: Konsep Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBET) semakin mendapat perhatian dan ia terbukti dengan kejayaan projek di Gunung Tebu, Terengganu yang mencatatkan hasil lebih RM380,000 pada tahun lepas.
Pegawai Penyelidik Perhutanan Sosial Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi bidang perhutanan sosial, Mukrimah Abdullah berkata, kejayaan pelaksanaan CBET di Gunung Tebu itu adalah hasil inisiatif Koperasi Sahabat Gunung Tebu yang membabitkan lebih 50 penduduk kampung.
"Mereka terlibat secara langsung sebagai pemandu pelancong, pengusaha inap desa, penjual kraf tangan dan makanan tradisional. Model CBET menawarkan pulangan ekonomi terus kepada penduduk tempatan tanpa meminggirkan nilai warisan dan ekologi.
"Ramai ahli komuniti termasuk golongan wanita kini dapat menjana pendapatan melalui penyediaan makanan tradisional seperti lempeng kelapa, dodol dan gula nise serta demonstrasi kraf tangan tradisi seperti rebana ubi serta golok," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.CBET merujuk kepada aktiviti pelancongan lestari kendalian komuniti tempatan di kawasan semula jadi yang kaya dengan khazanah alam dan warisan budaya dengan memberi peluang kepada pelancong merasai sendiri kehidupan kampung sambil menikmati keindahan alam seperti hutan hujan tropika, sungai jernih serta gunung-ganang.
Selain Gunung Tebu, antara destinasi CBET yang aktif ialah Janda Baik, Kuala Sat di Pahang dan Dabong di Kelantan.
Beberapa lokasi CBET di Malaysia diwujudkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk FRIM, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Perhutanan serta agensi berkaitan.
Mukrimah berkata, bagaimanapun, pelaksanaan CBET tidak terlepas daripada cabaran terutama komitmen berterusan para peserta selain berisiko berdepan kerosakan alam sekitar jika tidak diurus dengan teliti.
Beliau berkata, justeru, kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat amat penting untuk memastikan kelestarian serta keberkesanan program pelancongan seperti ini.
"Pengunjung juga diseru agar menjadi pelancong yang bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan, menghormati budaya tempatan dan menyokong produk komuniti.
"Amalan ini akan memastikan ekosistem CBET terus mampan dan memberi manfaat jangka panjang," katanya.
Mukrimah juga berkata, CBET diyakini mampu membina ekosistem ekonomi yang inklusif dan lestari selain pengalaman pelancongan yang unik serta autentik selain menyumbang kepada usaha pemeliharaan ekosistem hutan dan pemuliharaan budaya tempatan selaras dengan aspirasi negara dalam pembangunan pelancongan mapan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami